Lina Rosli Diterbitkan 19 May 2021

Tahukah Anda Semut Boleh Bersarang Di Dalam Air?

Selain lipas dan juga anai-anai, semut juga adalah serangga yang paling sering kita temui di rumah.

Sebelum itu, tahukah anda yang mana terdapat kira-kira 12,000 spesies semut yang telah dikenalpasti.  Namun, hanya 1% daripadanya adalah yang kita sering lihat di kebanyakan bangunan, rumah dan persekitaran tempat tinggal anda.

Semut merupakan salah satu perosak rumah. Hal ini kerana, ia akan merosakkan struktur bangunan bagi menyediakan tempat tinggal mereka serta menjadikan tempat pengumpulan makanan mereka.


Mengapa semut membuat sarang di rumah anda?

Untuk pengetahuan anda, semut adalah sejenis serangga berdarah sejuk yang bergantung kepada alam sekitar untuk mengawal suhu badan mereka. Pada musim sejuk, mereka akan bertapak dan bersarang di bahagian dalam rumah anda untuk mengelakkan sejuk. Sementara apabila tiba musim panas, semut akan bekerja dan mula mengumpulkan makan dan mencari air yang mencukupi sebelum tiba musim sejuk.

Bercerita mengenai air, seperti yang anda ketahui, semut adalah serangga yang paling kebal dan sukar untuk disingkirkan dari rumah? Mereka bahkan mampu bersarang di dalam air.


Benarkah Semut Boleh Bersarang Dalam Air?

Ya, benar. Semut boleh bertahan lama di dalam air.

Namun, tidak semua spesis ini boleh melakukan sedemikian. Antara semut yang boleh bertahan di dalam air adalah spesis semut Australia iaitu Polyrhachis sokolova yang mana ia boleh bersarang di lumpur dan juga air banjir yang deras.

Sebilangan semut boleh hidup di bawah air sehingga 14 hari. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada suhu air yang mana suhu air yang lebih rendah boleh menyebabkan tempoh masa bertahan semut menjadi lebih lama.


Mengapa semut boleh bersarang di dalam air?

Seperti kebanyakan serangga lain, semut bernafas melalui bukaan khusus di perut yang dipanggil spirakel. Selagi bukaan ini tetap kering, semut masih boleh mendapatkan oksigen dan mereka tidak akan lemas. 

Cara mereka bertahan di dalam air adalah dengan menutup spirakel ketika terendam di dalam air dan kemudiannya menurunkan fungsi tubuh yang diperlukan.

Walaupun semut boleh bertahan di dalam air, namun mereka masih tidak boleh berenang. Namun, disebabkan faktor badan mereka yang ringan, pergerakan semut di dalam air adalah bergantung kepada arus air dan mereka boleh menyediakan rakit tersendiri dengan hanya menyatukan kaki mereka diantara satu sama lain.

Berapa Lamakah Tempoh Masa Yang Diperlukan Untuk Semut Lemas?

Tempoh masa yang diperlukan semut untuk lemas sangat bergantung kepada spesies semut. Sebilangan spesies semut dapat hidup di dalam air selama berminggu-minggu.

Secara amnya, tempoh ketahanan semut di dalam air adalah bergantung kepada suhu air. Semakin rendah suhu air, semakin mudah bagi semut untuk mengekalkan metabolisme yang lebih rendah dan semakin lama ia bertahan di bawah air.

Sumber: antsallguardtermiteandpest , abc