Braces atau pendakap gigi adalah alat yang mana digunakan untuk membetulkan dan menyusun semula struktur gigi. Ia biasanya akan dilaksanakan oleh doktor gigi atau pakar ortodontik yang mana akan memasang alat aplian tetap ortodontik.
Apa itu aplian tetap ortodontik? Ia adalah komponen yang dipasang di dalam mulut pada barisan gigi anda yang diperlukan untuk menggerakan gigi. Ia berfungsi seakan wayar yang menyusun blok gigi tanpa memerlukan anda untuk menolaknya secara manual.

Untuk pengetahuan anda, aplian tetap ortodontik ini hadir dengan beberapa komponen yang membentuk ia menjadi pendakap gigi yang digunakan oleh kebanyakan individu.
Antaranya adalah pendakap atau braket, pemisah, pengikat, wayar lengkung, ligatur elastomerik dan juga beberapa komponen lain spring, tiub Buccal dan juga simen yang diperlukan untuk melekatkan braket.

Adakah Pendakap Gigi Palsu Menawarkan Komponen Yang Sama?
Sudah semestinya tidak.
Kebiasaannya, pengamal yang tidak bertaulian ini akan memasang pendakap yang kelihatan sama seperi aplian tetap ortodontik. Namun, ianya dipasang tanpa melakukan sebarang pemeriksaan yang betul, penggunaan komponen yang mudah karat dan juga tidak mendapat kelulusan daripada pihak yang berkuasa.
Bukan itu sahaja, pendakap gigi palsu ini biasanya dibeli secara atas-talian sama ada di laman Instagram, Facebook dan Twitter. Malah, ada juga yang mendapatkannya dari dagangan haram yang boleh didapati pada harga yang murah.

Perbezaan Pendakap Gigi Asli Dan Yang Palsu?
Faktor utama yang membezakan antara yang asli dan palsu adalah cara pemasangan, rawatan selepas pakai dan juga alat yang digunakan.
Pendakap gigi asli
Untuk pemasangan pendakap gigi di klinik bertauliah, doktor akan melakukan pemeriksaan mulut yang menyeluruh bagi mengetahui kesihatan gigi dan menentukan sama ada individu perlu mendapatkan rawatan pergigian lain seperti penskalaan, pemulihan, pengekstrakan.
Seterusnya, individu juga perlu menjalani ujian sinar-X bagi menentukan tahap tulang atau kelainan yang tidak dapat diakses semasa pemeriksaan fizikal.
Sementara bagi individu yang telah mula memakai pendakap, untuk setiap 3 hingga 6 minggu sekali, rawatan dan pemeriksaan berkala akan dilakukan bagi menukar braket lama atau memasang wayar yang baru untuk menjamin kebersihan dan juga keselamatan gigi.

Pendakap gigi palsu
Berbeza dengan pendakap gigi palsu, tidak ada pemeriksaan yang dilaksanakan dan pemakaiannya hanya dalam tempoh 3 hingga 5 bulan sahaja. Jika ia dipakai lebih lama, ia akan mendatangkan kemudaratan pada gigi seperti:
- Gam yang digunakan akan mula mengikis permukaan gigi sehingga menyebabkan gigi berongga dan gusi berdarah.
- Untuk kes yang lebih teruk, ia akan menyebabkan kerosakan kekal pada gigi, gusi dan tulang pendukung
Apa yang membimbangkan juga adala, penggunaan alat yang tidak disteril juga boleh membuka ruang kepada bakteria dan virus untuk menjangkiti mulut anda.
Bahaya bukan? Ada juga laporan yang mengatakan salah satu bahan yang terkandung di dalam pendakap gigi palsu adalah plumbum yang berbahaya pada kesihatan.
Bukan itu sahaja, pemakaian pendakap gigi palsu juga boleh mendatangkan risiko tertelan braket yang mungkin tidak dilekatkan dengan betul selain boleh mengakibatkan pergerakan gigi yang tidak teratur.
Sumber: MyHealth