Carian
Kipas Siling – Mengapa Ada 3 Bilah, 4 Bilah Dan 5 Bilah?
May 19, 2021 Lina Rosli

Pernahkah anda perasan yang terdapat perbezaan jumlah bilah yang ditawarkan pada kipas siling di pasaran?

Namun, apakah yang membezakannya?

Menurut pengeluar, perbezaan ini hadir dengan fungsi dan penggayaan yang berbeza yang mana ia akan mempengaruhi penggunaan untuk setiap ruang di dalam rumah.

Oleh itu, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perbezaan ini, Tajria hari ini akan berkongsi tentang faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi kipas selain membantu anda menentukan berapakah bilangan bilah yang bersesuaian untuk rumah anda.

Faktor Yang Mempengaruhi Prestasi Kipas Siling

Setiap kipas mempunyai bilah, motor dan juga bahan binaan yang berbeza yang ditampilkan. Perbezaan ini semestinya akan mempengaruhi prestasi kipas siling anda.

Kecerunan Bilah

Kecerunan di sini membawa maksud sudut atau kemiringan kipas yang disediakan.

Ia memainkan peranan penting dalam menilai berapa banyak udara yang diedarkan oleh kipas siling. Luas permukaan bilah bertambah jika bilah kipas siling mempunyai sudut yang lebih besar sehingga mendorong lebih banyak udara.

Tahap kecerunan bilah ini akan akan membantu kipas siling menggerakkan jumlah udara yang tepat, tidak terlalu sedikit dan tidak terlalu banyak.

Bentuk Bilah

Berbeza dengan sudut kecerunan bilah, bentuk bilah pula akan membantu mendorong udara ke bawah untuk membuat ruang dibilih menjadi lebih sejuk.

Bilah kipas boleh didapati dalam pelbagai bentuk, sama ada bentuk segi empat tepat, ataupun berbentuk seperti daun.

Untuk kebanyakan rumah, mereka lebih gemar menggunakan bilah kipas siling dengan panjang sekitar 42 dan 52 inci. Bilah yang lebih panjang berfungsi paling baik untuk bilik yang lebih besar dan mewujudkan aliran udara yang lebih lembut dan selesa.

Sementara, bilah yang lebih pendek menawarkan aliran udara yang lebih langsung dan sesuai untuk bilik yang lebih kecil. Isipadu udara tidak ditentukan oleh jarak bilah tetapi oleh motor.

Mana Lebih Baik – 3 Bilah, 4 Bilah Atau 5 Bilah?

Jika anda memilih bentuk dan bahan bilah yang sama, pemilihan kipas siling dengan bilangan bilah yang lebih banyak adalah lebih baik. Hal ini kerana, kipas siling 5 bilah akan menggerakkan lebih banyak udara.

Tambahan, kipas siling yang mempunyai lebih banyak bilah mempunyai keupayaan yang besar untuk menggerakkan lebih banyak udara. Namun, disebabkan muatan yang berat, maka ia akan bergerak lebih perlahan berbanding kipas siling dengan bilangan bilah yang sedikit.

Secara amnya, semakin banyak bilah kipas siling, pergerakkannya akan menjadi lebih konsisten dan tidak perlu dihidupkan lebih laju sekaligus menghasilkan peredaran udara yang juga lebih senyap.

Namun, untuk sesetengah individu berpendapat yang mana kipas dengan jumlah bilah yang sedikit adalah lebih baik. Hal ini kerana, ia dapat menggerakkan lebih banyak udara dan mengedarkan udara dengan lebih cepat.

Jadi, mana lebih baik kipas siling dengan bilah sedikit atau banyak?

Jawapannya, ia bergantung pada ruang di bilik anda. Sekiranya anda mencari kipas siling di kawasan yang lebih besar atau ruangnya mempunyai siling yang tinggi, anda harus mempertimbangkan faktor-faktor di atas.

Komen