Dengan gaya hidup kanak-kanak pada masa kini yang mana biasanya banyak menghabiskan masa di depan televisyen dan laptop sudah tentu akan memberi kesan kepada postur tubuh.
Ini berikutan data mengenai sakit tulang belakang di Malaysia menunjukkan ramai individu menderita dan mengalami penyakit ini termasuk kanak-kanak.
Untuk pengetahuan anda, sakit tulang belakang atau dikenali sebagai skoliosis (scoliosis) adalah penyakit yang membabitkan kelengkungan tulang belakang yang tidak normal. Bentuk normal tulang belakang seseorang merangkumi lekukan di bahagian atas bahu dan lekukan di punggung bawah.
Sekiranya tulang belakang anda melengkung dari sisi ke sisi atau dalam bentuk “S” atau “C”, anda mungkin menghidap skoliosis. Untuk kes ini juga, ia mengambil masa perlahan-lahan untuk berlaku dan tiada siapa perasan tulang belakang mereka bengkok.
Berdasarkan laporan dari BHarian, ia biasanya selalunya berlaku ke atas remaja perempuan berumur 13, 14 dan 15 tahun berbanding lelaki.
Faktor Yang Mendorong Kepada Tulang Belakang Bengkok
Kajian-kajian telah mengenalpasti beberapa penyebab, di antaranya :
Untuk bayi, perkembangan yang tergesa-gesa atau secara memaksa boleh memberikan kesan kepada tulang belakang. Sebagai contoh, memaksa bayi berdiri dan berjalan di dalam walker boleh merosakkan pertumbuhan tulang.
Sementara untuk kanak-kanak dan remaja pula:
Beban di bahagian belakang yang terlalu berat
Terdapat remaja yang membawa beg galas yang mana sekitar 30% dlebih berat daripada berat badan. Kesannya, ia akan menjadikan tubuh tidak dapat menampung beban yang dibawa dan sekaligus menjadikan tulang belakang bengkok.
Mengikut tabiat buruk orang dewasa
Kajian juga menunjukkan bahawa postur adalah sebahagian daripada tingkah laku yang dipelajari sejak usia tiga hingga lima tahun. Maka, jika anda sendiri menunjukkan contoh postur yang tidak baik, anak anda mungkin akan mencontohi tabiat buruk tersebut.
Sebagai contoh, apabila anda menonton televisyen sambil baring yang mana boleh menyebabkan perubahan pada struktur tulang.
Selain itu, duduk di kerusi selama berjam-jam, terutama yang tidak disesuaikan untuk memenuhi keperluan ergonomik kanak-kanak boleh menyebabkan subluksasi dan masalah yang lebih serius.
Kurang senaman ketahanan dan fleksibiliti
Ditambah dengan kurangnya senaman dan pergerakan, kanak-kanak lebih cenderung mengalami masalah seperti kyphosis postural atau membulat kerana ergonomik yang buruk dan berterusan.
Sekiranya tidak dirawat, masalah tulang belakang bengkok ini boleh mempengaruhi sistem hormon dan pencernaan badan dan menyebabkan komplikasi termasuk kerosakan paru-paru dan jantung, kerosakan pada tubuh bahagian belakang, sakit kepala, gangguan haid dan perubahan fizikal yang teruk seperti bahu dan pinggang yang tidak rata.
Bagaimana Ingin Mengatasi Masalah Ini?
Oleh kerana kebanyakan kanak-kanak kini banyak menghabiskan masa menjalani kelas secara atas-talian, makanya ini adalah masa yang penting untuk anda mengajar dan membetulkan postur tubuh mereka.
Sebagai contoh, sewaktu kelas pembelajaran secara atas talian, anda perlu memastikan susunan peranti seperti tablet, komputer riba, dan telefon menepati ciri ergonomik.
Bukan itu sahaja, anda juga perlu menunjukkan contoh postur yang baik.
Caranya, apabila duduk, pastikan punggung dan belakang perlu bersandar pada kerusi. Kemudian, kaki pula perlu mencecah lantai dengan stabil.
Apabila berdiri, pinggul hendaklah ke dalam sedikit dan bahu lurus ke belakang. Kepala hendaklah pandang ke hadapan dan telinga selari dengan bahu.
Kesimpulannya, ibu bapa dan penjaga perlu memastikan anak-anak mereka membina tabiat postur yang sihat untuk mengurangkan dan menghilangkan risiko masalah muskuloskeletal di masa hadapan.