Tahukah anda terdapat perbezaan antara hotel dan motel?

Ia bukan sahaja melibatkan perbezaan dari segi perkataan, namun juga merangkumi rekaan, struktur dan juga kegunaannya.

Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi fakta menarik mengenai perbezaan hotel dan juga motel yang boleh anda ketahui.

Maksud Di Sebalik Hotel Dan Motel

Hotel berasal dari bahasa Perancis yang mana merupakan sebuah tempat atau bangunan yang menyediakan penginapan, makanan dan beberapa perkhidmatan lain.


Sementara motel pula merupakan tempat penginapan yang dibina khusus untuk pengembara yang memerlukan tempat untuk berehat dan biasanya dibina di tepi lebuhraya.

Secara amnya, hotel dan motel ini adalah tempat yang menyediakan tempat tinggal bermalam untuk jangka masa pendek. Ciri dan perkhidmatan yang disediakan berdasarkan penilaian hotel itu sendiri sama ada ia adalah hotel jenis satu bintang, dua bintang, tiga bintang dan seterusnya.

Walau bagaimanapun, hotel dan motel hadir dengan penawaran susun atur dan binaan bangunan yang berbeza. Hotel hadir dengan beratus-ratus bilik dan beberapa tingkat yang mereka biasanya mempunyai tangga, lif dan koridor dalaman yang menuju ke bilik.

Manakala, untuk motel pula hanya mempunyai satu atau dua tingkat dan tetamu mengakses bilik mereka terus dari tempat letak kereta.


Mengapa Motel Dibina?

Ada beberapa laporan mengatakan perkataan motel merupakan gabungan untuk perkataan “motor” dan “hotel” dan dimaksudkan untuk menggambarkan sebuah syarikat yang menyediakan beberapa, tetapi tidak semestinya semua perkhidmatan yang berkaitan dengan hotel.

Menurut profesor komunikasi di Universiti Negeri San Jose, idea motel ini diambil dari gaya hidup orang Amerika yang mana mereka kerap mengembara ke suatu kawasan yang jauh. Dahulunya, dari satu tempat ke tempat yang lain biasanya tidak mempunyai kawasan rehat yang selesa. Jadinya dengan adanya motel atau rumah tumpangan di sepanjang lebuhraya, ia akan memudahkan lagi urusan pengurusan diri dan juga memberikan tenaga untukmeneruskan perjalanan.

Perbezaan utama motel adalah ia seharusnya menampilkan saiz tempat letak kenderaan yang besar. Hal ini kerana, idea asalnya yang dibina khas untuk para pengembara, maka sangat pentinglah untuk pemilik hotel menyediakan tempat letak motor, van atau kereta yang besar untuk akses yang bersesuaian kepada pelanggan.

Sumber: RD , smithsonianmag