Nampak seperti remeh, namun sebenarnya nota pelekat ataupun Post-It Notes kini telah menjadi satu alatan pejabat yang paling popular lebih-lebih lagi dalam kalangan kerani.
Mengapa ia digemari oleh kebanyakan individu?
Hal ini kerana, memudahkan anda untuk menampal nota ataupun memberi arahan bertulis tanpa memerlukan anda menggunakan gam atau alat pelekat yang lain tuntuk menggunakannya. Tambahan, ia hadir dengan pilihan warna yang menarik, sudah tentu ia berjaya menarik perhatian ramai individu untuk menggunakannya.

Namun, tahukah anda bahawa, nota pelekat ini sebenarnya dicipta tanpa sengaja? Terdapat dua insiden yang menjadi penggerak dalam merealisasikan kejayaan produk ini.
Idea Bermulanya Nota Pelekat
Sekitar tahun 1968, Spencer Silver iaitu penyelidik dari 3M yang ingin menawarkan produk pelekat yang sangat kuat untuk digunakan di dalam pembinaan pesawat. Sebaliknya, kesilapan Silver dilihat telah menghasilkan satu pelekat baharu yang disebut mikrosfera polimer bersama akrilat. Pelekat ini dilihat sensitif terhadap tekanan yang mana ia hanya boleh melekat apabila ditekan dan menampilkan kesan melekit.
Apa yang menarik mengenai bahan mikrosfera ini, ia berfungsi baik pada permukaan tangan yang mana ia tidak meninggalkan kesan gam pada permukaan tidak kira sama ada di atas plastik, kertas mahupun tangan. Maka tidak hairanlah mengapa individu menggemari nota pelekat ini kerana ia tidak meninggalkan kesan yang buruk seperti pita selofan biasa.
Namun, insiden penciptaan nota pelekat ini tidak berakhir pada kejayaan Silver. Dalam pada masa yang sama, Art Fry yang juga seorang pekerja di Syarikat 3M turut menghasilkan ciri seakan sama.

Pada waktu itu, Fry berasa amat kecewa apabila penanda buku skrapnya sering terjatuh dan hilang dari buku. Oleh itu, beliau menyatakan yang mana alangkah baiknya jika penanda tersebut boleh melekat tanpa merosakkan keadaan bukunya secara kekal.
Kemudian, Fry menyedari bahawa kertas melekit dilihat akan berfungsi dengan baik. Lebih-lebih lagi jika kertas tersebut boleh menampilkan nota berkenaan sesuatu perkara.
Bermula dari situ, Fry mula mengembangkan idea nota menggunakan pelekat yang dilakukan oleh Silver. Fry mencadangkan kepada Nicholson dan Silver bahawa mereka menggunakan pelekat itu dan lekatkannya pada bahagian belakang sehelai kertas dan kemudian lekatkan kertas tersebut di mana-mana sahaja yang bersesuaian.
Ketika Fry dan pasukannya mula mengembangkan produk, mereka hanya dapat menemukan sekeping kertas kuning untuk bereksperimen. Sehingga ke hari ini, warna kuning tersebut menjadi sinonim dengan nota pelekat yang didapati di pasaran.
Bagaimana Nota Pelekat Ini Boleh Menjadi Produk Yang Luar Biasa?
Kejayaan melancarkan pelekat ini dilihat boleh dijadikan satu titik permulaan untuk kebanyakan syarikat lain untuk tidak berhenti mencuba.
Bagaimana produk ini boleh menjadi produk yang luar biasa?
Tidak dinafikan, hasil akhir produk ini kelihatan sangat senang untuk dihasilkan. Namun, sebenarnya terdapat banyak permasalahan yang berlaku pada prototaip awal. Ia termasuk gam yang sering terlepas dari kertas.
Untuk menyelesaikannya, dua pekerja 3M yang lain ditugaskan untuk membuat pelapis yang dapat diletakkan di atas kertas untuk membuat pelekat tetap terikat padanya dan tidak akan tertinggal apa pun bahan pada kertas yang terlekat ketika ia ditarik keluar.

Pengurusan 3M pada awalnya tidak menyangka produk tersebut akan berjaya secara komersial. Tahukah anda, selepas ia berjaya dihasilkan, produk tersebut dibiarkan tersimpan di makmal sehingga tiga tahun.
Pada tahun 1977, 3M mulai menjalankan ujian untuk melihat sama ada penjualan Post-It Notes ini berjaya atau sebaliknya.
Nama awal nota pelekat ini adalah Press ‘N Peel. Namun, apabila diperkenalkan umun, produk tersebut tidak dapat beroperasi dengan baik dan dalam masa yang sama para eksekutif mengatakan nota pelekat ini bukan produk komersial yang baik. Akhirnya, produk tersebut sekali lagi simpan di dalam makmal.
Namun, ia tidak berakhir di situ apabila Nicholson dan Joe Ramey sekali lagi mencuba untuk memperkenalkan catatan Post-It kepada dunia, kali ini memberikan sejumlah besar catatan catatan Post-It percuma di Boise, Idaho, dengan kempen yang dianggap “The Boise Blitz”.
Dan pada tahun 1980, nota Post-It mula dikeluarkan di seluruh Amerika Syarikat. Setelah 5 tahun penolakan dari pihak pengurusan dan 7 tahun lagi dalam pembangunan dan penolakan awal, nota Post-It akhirnya menjadi sesuatu produk yang popular selain menjadi produk terlaris yang dibekalkan kepada seluruh dunia.
Sumber: 3M , Mnopedia , ideatovalue