Apabila sebut tentang Korea Selatan, K-pop, K-Drama atau mi
segera Samyang mungkin perkara pertama yang muncul dalam minda anda.
Negara ini berjaya menawan dunia menerusi ‘Gelombang Korea’
bermula dengan hiburan seperti muzik, drama dan filem. Seterusnya adalah gaya
hidup seperti makanan, fesyen termasuk budaya kafe.
Buat peminat kopi dan kaki merayap kafe, terdapat banyak kedai
kopi dengan pelbagai tema menarik di setiap penjuru Korea. Ada yang comel dan
ada yang pelik-pelik.
Menurut laman The Travel,
di Seoul sahaja terdapat lebih 18,000 kedai kopi. Berikut lima kafe yang menjadi
impian para penagih kafein:
Kafe #1 Zapangi
Mesin layan diri atau vending machine berwarna merah
jambu terang ini sebenarnya adalah pintu rahsia untuk masuk ke dalam kafe Zapangi.
Deria anda akan disentuh dengan warna, aroma dan suasana ceria kafe ini.
Kebanyakan kek dihidangkan di dalam tin, antara yang paling
popular adalah kek dengan krim putar berwarna pelangi dan berekor duyung. Susu dibotolkan
di dalam botol berpenutup gabus dan cawan kertas kopinya pula berkonsepkan warna
merah jambu.
Kafe #2 Yeonnam-dong 223-14
Melangkah masuk ke kafe ini seolah-olah berjalan ke dunia
kartun. Diinspirasikan daripada K-drama popular, W – Two Worlds, dari
dinding, kerusi, meja dan dulang dilukis dengan begitu teliti.
Antara menu yang ditawarkan adalah; Mocha Cheese Cake, Pinkberry
Cheese Cake dan Brown Cheese Cake. Saya rasa ini memang kek betul, bukan
kartun manakala minuman menarik tersenarai dalam menu adalah Popcorn Cafe
Frappe.
Kafe # 3 Takeout Drawing
Lokasi ini hampir sempurna untuk mencari inspirasi sambil menghirup
secangkir kopi dan sepotong kek pada siang hari. Takeout Drawing bukan sekadar
kafe, tetapi juga pameran seni dan ruang untuk seniman tempatan melampiaskan
kreativiti mereka.
Bahkan minuman dan makanan ringan di sini juga terhasil
dengan begitu berseni dalam pelbagai bentuk dan warna. Contohnya Paul’s Meringue Factory, kopi
espresso dihiasi dengan meringue buatan sendiri.
Kafe #4 Stylenanda Pink Pool
Kafe Pink Pool terletak di tingkat lima Stylenanda’s Pink
Hotel, sebuah bangunan jenama fesyen popular serba merah jambu.
Dekorasi seperti pencahayaan lampu neon, mozek kolam renang di
dinding dan patio di puncak bangunan dapat melarikan sebentar para pengunjung
daripada hiruk-pikuk kota Seoul. Minumannya, kopi Signature Cotton Candy
pula dikatakan terlalu cantik untuk diminum.
Kafe # 5 Ho Ho Myoll
Kedai kopi berkonsep vintaj ini memang menambat hati saya. Kereta
Volkswagen betul-betul diparkir di dalam kedai dengan hiasan comel-comel.
Kafe ini dinamakan sempena Myoll, nama kucing warna kelabu yang
tinggal dekat situ, comelnya! Barista handalan akan menyajikan aneka kopi termasuk
latte art. Dengan hiasan lampu kelap-kelip, kedai ini nampak ajaib pada
waktu malam apabila semuanya menyala.
Sumber: Tripzilla, The Culture Trip, The Smart Local