Jaket hud (hoodie) boleh dikatakan sangat popular dalam kalangan individu masa kini yang mana ia memaparkan imej yang santai dan juga bersahaja dalam berfesyen.

Bercakap jaket hud pada dasarnya adalah tshirt lengan panjang atau baju sejuk yang mempunyai penutup kepala di atasnya. Apa yang menjadikan jaket hud begitu popular adalah bukan sahaja mereka selesa dipakai, tetapi juga menjadi barang fesyen yang sangat bergaya untuk kedua-dua jantina, lelaki dan juga perempuan.


Namun, apakah kisah di sebalik pengenalan jaket hud ini di dalam industri fesyen?

Jadi, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda bagaimana jaket berhud mula popular dan revolusi penciptaannya sebelum menjadi item fesyen yang kita lihat pada masa kini.

Pengenalan Dan Penggunaan Jaket Hud Yang Pertama

Menurut Savnt, istilah ‘hood‘ berasal dari perkataan Anglo-Saxon “höd”, yang mempunyai asal yang sama dengan perkataan topi dalam bahasa Inggeris (Hat).

Ia mula kelihatan sejak zaman Pertengahan Eropah lagi yang mana pada waktu itu banyak dilihat dan dipakai oleh para sami. Pada masa itu, golongan sami yang dikenali sebagai Bhikkhu memakai jubah berkerudung. 

Kerudung atau hud tersebut dilekatkan pada bahagian leher jubah untuk melindungi diri dari hujan, salji ataupun keadaan cuaca yang teruk.

Namun, ada juga kurator yang mengatakan, sejarah hoodie telah sejak lebih dari 3,000 tahun lagi yang mana dipakai oleh orang-orang Yunani dan Rom Purba.


Revolusi penggunaan jaket berhud ini mula bertapak di dalam industri pada sekitar tahun 1930. Ia merupakan pakaian sukan yang banyak digunakan sewaktu musim sejuk.

Syarikat pertama yang memperkenalkan jaket hud ini adalah sebuah syarikat Amerika Syarikat yang bernama Champion. Syarikat ini mempelopori pengeluaran baju sejuk setelah mengembangkan proses yang membolehkan penggunaan bahan yang lebih tebal.

Menurut Harold Lipson, yang merupakan bekas presiden di Champion yang pengenalan hud ini bertujuan sebagai baju sejuk untuk melindungi para atlet dan pekerja cuaca yang melampau. Dahulunya, pekerja di gudang penyimpanan selalu berada di kawasan terbuka yang sejuk sepanjang musim sejuk. Oleh itu, jaket berhud ini dikatakan dapat memberikan lebih banyak kehangatan.

Malah, syarikat Champion juga bekerjasama dengan sekolah menengah untuk menawarkan keperluan pakaian dengan memberikan baju sejuk tebal yang besar yang dipakai atlet bola sepak dan juga atlet trek balapan dan padang.

Kemudiannya, mereka mula mengembangkan operasi dengan membekalkan tentera Amerika Syarikat dan Inggeris dengan peralatan sukan termasuk jaket berhud sebagai pakaian latihan dan pakaian santai.

Wujudnya Budaya Hip-Hop – Penggerak Utama Populariti Jaket Hud

Menjelang tahun 1970-an, jaket hud memulakan zaman kegemilangannya di kebanyakan kawasan bandar dan universiti di Amerika Syarikat.

Ketika budaya hip-hop berkembang di jalan-jalan di New York City, ramai yang menggunakan jaket berhud ini semasa menari tarian hip-hop. Penggunaan jaket hud ini adalah untuk menjaga selain menghangatkan tubuh sebelum mereka jatuh ke lantai.

Sementara universiti-universiti Amerika mula melekatkan logo dan lambang mereka pada baju sejuk. Fenomena ini masih berleluasa hari ini untuk kedua-dua baju sejuk dan jaket berhud, bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di seluruh dunia.


Dengan penggunaan jaket hud yang masih lagi boleh dilihat dalam komuniti di atas, maka tidak hairanlah budaya hip-hop dan siswa univerisiti banyak membantu mempopularkan hoodie kepada khalayak antarabangsa.

Perkembangan Trend Jaket Berhud Dalam Industri Fesyen

Sehingga kini,  jaket hud mula berkembang menjadi simbol penting dalam koleksi fesyen.

Penggunaannya dan popularitinya mula meningkat. Ia tidak hanya digunakan dalam kalangan golongan muda atau sekadar peminat indie sahaja. Malah, fesyen jaket hud ini juga selalunya dikaitkan dengan pemain papan luncur (skateboard).

Tidak dinafikan, koleksi jaket hud ini tidak hanya tertumpu pada sesuatu acara sahaja. Jaket berhud boleh disesuaikan dan dipakai oleh semua peringkat umur dan kelas sosial. Ia kerana jaket ini diklasifikasikan sebagai pakaian serba boleh yang kelihatan moden dan versatil jika dipakai dengan cara tertentu.


Sejak populariti memuncak, banyak jenama mewah mula memperkenalkan jaket berhud keluaran mereka tersendiri seperti Tommy Hilfiger, Giorgio Armani, dan Ralph Lauren ataupun jenama pakaian sukan seperti Nike, Adidas, Puma dan banyak lagi.

Malah, pengasas Facebook iaitu Mark Zuckerberg turut tidak ketinggalan dalam menjadikan jaket hud ini sebagai fesyen hariannya. Mark Zuckerberg menentang norma korporat dengan menjadikan jaket hud, tshirt dan seluar jeans sebagai #OOTD setiap hari.

Sumber: rollingstone , iffleyroad