Duduk di rumah dan melakukan aktiviti di dalam rumah adalah kaedah terbaik buat masa ini.
Namun, tahukah anda yang mana walaupun di rumah, anda masih perlu memastikan keadaan rumah anda bersih dan selamat untuk didiami untuk tempoh yang lama? Hal ini kerana, jika rumah anda mempunyai sistem pengudaraan yang buruk, ia akan menyebabkan virus terkumpul di udara di rumah.
Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda cara untuk meningkatkan sistem pengudaraan di rumah anda dengan baik.
Sediakan ruang untuk udara keluar dan masuk
Dengan membuka kipas atau tingkap dan menempatkan sistem penapisan udara di ruang tempat anda berkumpul dapat membantu mengurangkan risiko pengumpulan virus dan bateria.
Jadi, sekiranya selamat untuk melakukannya, buka pintu dan tingkap sebanyak mungkin untuk membawa masuk udara luar yang segar.
Walau bagaimanapun, elakkan membuka tingkap dan pintu jika rumah anda mempunyai anak kecil dan haiwan peliharaan yang boleh mendatangkan risiko jatuh dan mencetuskan gejala asma.
Anda juga tidak disarankan membuka tingkap jika kawasan perumahan anda mempunyai tahap pencemaran luar yang tinggi.
Gunakan penapis udara
Sekiranya membuka tingkap atau pintu tidak selamat, pertimbangkan untuk anda menggunakan peranti yang boleh mengurangkan zarah virus di udara seperti menggunakan penapisan udara dan kipas ekzos bilik mandi dan dapur.
Menurut pakar di KDK, beliau mengatakan pengalihudaraan dengan hanya membuka tingkap tidak akan berkesan dengan sepenuhnya atau secara muktamad kerana ia sangat bergantung kepada keadaan persekitaran.
Oleh itu, kipas ekzos diperlukan untuk mengeluarkan kelembapan berlebihan dari bilik mandi dan dapur sekaligus mewujudkan persekitaran yang sihat.
Gunakan kipas untuk memindahkan zarah virus ke udara dari dalam rumah anda ke luar.
Kerap bersihkan kipas dan penyaman udara di setiap bilik
Sekiranya rumah anda mempunyai sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara pusat yang mempunyai penapis, pastikan anda sentiasa membersihkannya.
Untuk pengetahuan anda, kipas dan penapis di dalam penyaman udara tetap akan berjalan secara berterusan, walaupun ia tidak dihidupkan. Oleh itu, anda perlu tukar penapis anda setiap tiga bulan atau mengikut arahan pengeluar.
Sebaik-baiknya, pastikan sistem pengudaraan diperiksa dan disesuaikan oleh seorang profesional setiap tahun untuk memastikannya berfungsi dengan cekap.
Pastikan pembersih udara dihidupkan sekiranya anda mempunyai pengunjung di rumah
Pastikan pembersih udara dihidupkan selama satu jam setelah pelawat anda pergi untuk membantu membuang zarah virus yang mungkin ada di udara.
Selain itu, gunakan kipas untuk meningkatkan aliran udara. Letakkan kipas sedekat mungkin ke tingkap terbuka yang bertiup di luar. Melaluinya, ia dapat membantu menyingkirkan zarah virus di rumah anda dengan meniup udara di luar.
Hadkan jumlah dan masa pengujung di rumah anda
Semakin banyak orang di dalam rumah anda dan semakin lama mereka berada di kawasan tertutup, semakin banyak zarah virus akan berkumpul.
Oleh itu, pastikan anda berkumpul di bilik-bilik atau ruang yang lebih besar yang mana penjarakkan fizikal dapat dilakukan.
Bukan itu sahaja, pastikan semua orang memakai pelitup muka semasa pengunjung berada di rumah anda. Ini merangkumi pengujung dan juga keluarga yang sedia ada tinggal di rumah anda.
Berikut adalah beberapa kaedah yang boleh anda praktikkan dalam membantu menampilkan sistem pengudaraan rumah yang baik. Ini bagi mengelakkan risiko virus dan bakteria berkumpul lama di dalam rumah anda.