Putarkan, rasa dan celup!
Seingat saya, itu cara makan biskut Oreo sewaktu menonton
iklan di TV semasa zaman kanak-kanak dulu.
Besarnya pengaruh iklan tersebut sehingga saya ajar adik
saya yang baru merangkak ketika itu untuk makan biskut Oreo celup ke dalam secawan
susu dengan teknik yang sama.
Adik saya gigih celup biskut gelap tersebut sehingga cair,
menyuap ke dalam mulutnya sehingga meleset ke pipi sampai habis mukanya
berceloreng seperti askar.
Lebih dua dekad sudah berlalu dan sampai sekarang dia suka
makan biskut jenama Oreo.
Begitulah kenangan kami bersama biskut Oreo. Berikut perkara
menarik di sebalik biskut legenda ini:
Nama Utamanya Masih Menjadi Misteri
Selama bertahun-tahun, nama Oreo sering melalui beberapa
perubahan. Pada awalnya nama ‘Oreo Biscuits’ kemudian ‘Oreo Sandwich’, ‘Oreo
Crème Sandwich’ dan ‘Oreo Chocolate Sandwich Cookie’ pada tahun 1970.
Bagaimanapun asal usul perkataan ‘Oreo’ masih menjadi teka-teki.
Kemungkinan ia berasal daripada perkataan Perancis yang bermaksud emas. Namun
tiada siapa yang tahu fakta sebetulnya.
Krim Jadi Mahakarya
Biskut Oreo telah menjadi kanvas mini untuk kerja seni di tangan
seorang artis bernama Tisha Cherry.
Beliau menukil karyanya dan mewarnakan krim tersebut dengan
menggunakan pencungkil gigi. Cherry memaparkan hasil kerjanya di laman Instagram.
Mendunia Di 100 Buah Negara
Jenama ini telah menembusi pasaran dunia termasuk di
negara-negara yang ramai penduduknya seperti China dan India. Namun bukan mudah
untuk menakluk selera orang-orang tempatan.
Lantas pelbagai perisa diperkenalkan di setiap negara seperti
aiskrim teh hijau (Jepun), aiskrim beri biru (Indonesia) dan mangga (China).
Perisa Asal Oreo
Untuk pengetahuan anda, perisa asal biskut Oreo adalah krim
lemon sebelum dihentikan pada sekitar tahun 1920-an.
Kemudian perisa krimnya berkembang dengan pelbagai tema seperti
Banana Split Cream, Neapolitan, Caramel Apple, Limeade, Pumpkin Spice,
Cookie Dough, Red Velvet, Cotton Candy dan banyak lagi.
Ujian Personaliti Oreo
Cara makan biskut Oreo ini mungkin dapat menggambarkan
personaliti anda. Pada tahun 2004, Kraft Foods telah membuat tinjauan terhadap 2000
orang pemakan Oreo.
Mereka mendapati golongan yang suka mencelup ke dalam susu adalah
seorang yang bertenaga, bersosial dan lasak.
Golongan yang suka memutarkan biskut ini pula merupakan
seorang yang sensitif, artistik dan trendy. Manakala geng suka makan terus pula
sejenis yang optimistik, yakin diri dan pandai bawa diri.
Dunia Game of Thrones Versi Oreos
Semasa demam Game of Thrones (GoT) melanda peminat, pihak Oreo
telah melancarkan produk edisi terhad bertemakan GoT dan melakukan promosi epik untuk biskut ini
di mana landskap GoT hampir semuanya dibuat dengan biskut termasuk unsur-unsur geografi
dunia seperti gunung dan salji.
Pertembungan antara dunia GoT dengan Oreo ini telah menelan
kira-kira 2,750 Oreo bagi membina animasi landskap tersebut.
Ditahan Kerana Buat Prank Oreo
Dalam kita bergurau, sebenarnya ada satu garisan yang tak
boleh dilangkah. Pada tahun 2017, seorang YouTuber popular bernama Kanghua Ren telah
merakam dirinya menggantikan krim biskut Oreo dengan ubat gigi.
Kemudian dia berkongsi dengan satu juta lebih pengikutnya bagaimana
dia memberi biskut tersebut bersama 20-euro kepada seorang lelaki gelandangan.
Menurut laporan akhbar Sepanyol El País, lelaki tersebut muntah setelah
memakan Oreo prank itu.
Penonton mula mengamuk dengan tindakan Ren yang telah melanggar
batas moral. Walaupun dia bertegas yang itu cuma sebuah jenaka, pihak berkuasa
tidak rasa itu lucu lalu menghumban dia ke dalam penjara berserta denda $22,300.
Hukuman yang lebih berat lagi, mahkamah memerintahkan supaya
Ren menutup akaun YouTube dan saluran media sosial lain selama lima tahun.
Moral cerita? Jangan main-main dengan Oreo, makanan dan harga
diri seseorang.
Sumber: Businesstoday,
Mentalfloss,
Mashed