Tidak dinafikan yang mana percutian berkonsepkan alam semula jadi dan “glamping” merupakan konsep percutian yang menarik.
Keunikan alam semula jadi mempunyai pesona tersendiri terutamanya kepada pencinta alam sekitar. Sudah tentu ramai yang merindui keindahan flora dan fauna, ketenangan alam atau menikmati suasana hijau itu sendiri.
Oleh itu, Tourism Selangor hadir dengan beberapa senarai lokasi dan tempat percutian alam semula jadi di Negeri Selangor yang pastinya menjadi pilihan terbaik selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak.
Resort Taman Eko Rimba Komanwel
Resort Taman Eko Rimba Komanwel terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong, Rawang merupakan pilihan yang tepat buat orang ramai untuk dijadikan sebagai destinasi percutian ideal.
Anda boleh memilih sama ada menginap di bilik biasa atau khemah. Walaupun terletak di kawasan hutan tetapi ianya masih menawarkan keselesaan. Para tetamu dapat menghayati pengalaman berehat di dalam hutan yang jauh dari hiruk-pikuk kota.
Alamat: KM 23, Jalan Kuala Lumpur – Rawang Compartment 3, Lagong Forest Reserve, 48000 Rawang, Selangor
The Nahara Kalumpang
Jika anda inginkan percutian tenang dan santai di tepian sungai, The Nahara Kalumpang merupakan lokasi percutian yang sangat cantik yang boleh anda terokai.
Terdapat beberapa unit chalet dan villa yang ditawarkan kepada para pengunjung. Bukan itu sahaja, aktiviti berkelah juga boleh dilakukan di sini, menjadikan The Nahara Kalumpang antara pilihan menarik di Negeri Selangor bagi percutian seisi keluarga.
Alamat: Kampung Pasir Putih, 44100, Selangor
Nur Laman Bestari Eco Resort
Nur Laman Bestari Eco Resort terletak berdekatan dengan Ulu Yam dan hanya mengambil lebih kurang 15 minit perjalanan dari Batu Caves.
Ianya terletak bersebelahan dengan Sungai Tua Recreational Forest dan menawarkan beberapa jenis penginapan yang boleh dipilih oleh para pengunjung seperti chalet dan khemah.
Terdapat pelbagai aktiviti ditawarkan di sini seperti berkayak, menyelusuri hutan dengan menggunakan kenderaan ATV dan banyak lagi.
Alamat: Jalan Ulu Yam Baru, Hutan Lipur Sg.Tua, Selangor, 68100 Batu Caves
Dusun Bonda
Dusun Bonda merupakan lokasi percutian yang terletak di Ulu Tamu, Batang Kali. Destinasi ini menawarkan penginapan berlandskapkan tropika yang ditumbuhi pokok-pokok yang mekar.
Selain itu, Dusun Bonda juga menawarkan penginapan yang harmoni dengan suasana persekitaran yang menarik. Pemandangan indah di tepian sungai dan air terjun buatan juga menjadi tarikan utama kepada orang ramai untuk menghabiskan masa terluang di sini selepas tamat tempoh PKP nanti.
Alamat: Lot 2121 (2996) Jalan Ulu Tamu, Kampung Orang Asli Gurney, Ulu Tamu, 44300 Batang Kali, Selangor
Taman Eko Rimba Sungai Tua
Taman Eko Rimba Sungai Tua merupakan kawasan rekreasi hutan yang popular di Negeri Selangor. Ianya terletak kira-kira 10km dari Bandar Baru Selayang dan berada dalam kawasan Hutan Simpan Hulu Gombak.
Terdapat pelbagai aktiviti dan kemudahan di Taman Eko Rimba Sungai Tua termasuklah aktiviti berkhemah, berkelah, joging dan banyak lagi. Malah, anda boleh bersiar-siar sambil menikmati keindahan alam semula jadi serta flora dan fauna di sekitar kawasan ini.
Alamat: B23 Jalan Hulu Yam Bharu – Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor
Bersempena dengan kempen #DreamNowTravelLater, Tourism Selangor membawakan kepada anda beberapa destinasi yang boleh anda lawati setelah tamat tempoh PKP.
Di dalam keseronokan ini juga, anda dinasihatkan untuk kekal mematuhi arahan dan SOP yang telah ditetapkan.
Jangan lupa untuk mendaftar dan mengimbas kod SElangkah sebelum memasuki premis selain memastikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi kesejahteraan bersama.