Selain zip, kancing velcro juga adalah item yang paling kerap digunakan oleh kebanyakan individu untuk melekatkan sesuatu kepingan. Untuk velcro, ia biasanya digunakan dalam mencantumkan dua kain atau helaian yang lembut.
Berbanding dengan zip, velcro lebih sesuai digunakan untuk cantuman yang tidak memerlukan daya tahan yang kuat. Sementara zip pula, lebih sesuai untuk mengancing item dengan daya tahan yang lebih kuat agar tidak mudah terbuka dan banyak digunakan pada beg, seluar, kain dan juga jaket.
Namun, apakah yang menyebabkan idea untuk menggunakan velcro ini muncul? Dan apakah produk pertama yang menggunakan velcro sebagai bahagian pencantum?
Ideanya Bermula Dengan Bunga Burdock
Untuk pengetahuan anda, velcro juga dikenali sebagai pengikat ‘cangkuk dan gelung‘. Ia banyak digunakan dalam banyak aspek kehidupan moden seperti dalam industri pembuatan kasut, lampin pakai buang, perubatan dan juga industri aeroangkasa.
Ideanya bermula pada sekitar tahun 1941 yang mana diciptakan oleh jurutera Switzerland yang bernama Georges de Mestral.
De Mestral pada waktu itu berjalan dihutang bersama anjingnya dan beliau mendapati terdapat gerigis daripada pokok burdock yang melekat di seluar dan juga bulu anjingnya.
Ketika ingin membersihkannya, beliau merasakan agak sukar untuk mengeluarkannya dari kain walaupun telah digosok dan ditepuk banyak kali. Bagaimana sekecil-kecil objek ini mampu bertahan dan memegang seluarnya dengan kuat?

Oleh itu, de Mestral memutuskan melihat struktur gerigis pokok Burdock. Di bawah mikroskop, beliau dapat melihat bahawa hujung duri yang tampak lurus pada mata kasar sebenarnya berisi cangkuk kecil yang dapat menempel pada serat dalam pakaian. Jika disamakan dengan produk sedia ada masa itu, ia kelihatan mirip dengan pengikat mata kail.
Setelah melihatnya dengan lebih jelas, de Mestral merasakan bahawa gerigis ini berpotensi untuk menyelesaikan beberapa isu dan permasalahan dalam industri tertentu.
Hal ini kerana, de Mestral mendapati gerigis tersebut mempunyai beribu-ribu cangkuk kecil yang baik dalam mengikat hampir semua kain dan juga bulu yang terkenanya.
Menurut de Mestral, berbeza dengan bahan pelekat atau pengikat lain, ia biasanya hadir dengan tekstur yang melekit selain merosakkan permukaan sesuatu produk.
Sejak daripada itu, de Mestral melakukan beberapa eksperimen untuk menerjemahkan gerigis pokok Burdock kepada bentuk sintetik yang diperbuat daripada fabrik. Dengan ini, ia boleh menjadi persaing kepada alat pelekat dan pengikat yang lain seperti zip, butang, ritsleting dan banyak lagi.
Mengambil masa selama 14 tahun untuk memperoleh hasil yang menepati kriteria yang diidamkan, de Mestral akhirnya memperkenalkan Velcro pada tahun 1955.

Mana Datangnya Nama Velcro?
Kemudian, de Mestral mendapatkan hak paten untuk produknya dengan tanda dagang ‘Velcro’. Perkataan Velcro ini berasal dari perkataan Perancis velours iaitu velvet, dan crochet yang merupakan cangkuk.
Kemudiannya, beliau mendapatkan pinjaman sebanyak $150,000 untuk memulakan pengeluaran besar-besaran Velcro.
Untuk menghasilkan produk barunya secara besar-besaran, de Mestral juga memerlukan alat tenun khas yang dapat menenun serat dengan ukuran, bentuk, dan ketumpatan yang tepat. Jika sebelum ini, beliau mengait Velcro menggunakan tangan yang mana sudah tentu akan mengambil masa yang lama untuk menyediakannya pada kuantiti yang besar.

Oleh itu, de Mestral membuat keputusan untuk bersembunyi di sebuah kabin kecil di desa Commugny di Pegunungan Alpen Swiss, berusaha mencari jalan penyelesaian.
Selepas 5 tahun iaitu sekitar tahun 1957, de Mestral berjaya menggunakan versi yang diubah suai seperti gunting tukang gunting. Dengan kemampuan untuk menjaga sudut potongan tepat, dia akhirnya dapat membuat alat tenun yang memungkinkannya menghasilkan pengikat cangkuk dan gelung secara besar-besaran.
De Mestral akhirnya berjaya membuka kilang di Eropah dan akhirnya berkembang ke Kanada dan Amerika Syarikat.
Velcro Tidak Mendapat Penerimaan Yang Memberangsangkan?
Semasa pertunjukan fesyen New York City 1959 yang menonjolkan pakaian dengan Velcro, pengkritik menganggapnya ia buruk dan berpenampilan murah. Sejak daripada itu, Velcro lebih banyak dikaitkan dengan pakaian dan peralatan sukan berbanding dengan haute couture.
Menjelang tahun 1960-an, pengeluaran Velcro pada waktu itu dianggap sesuatu yang tidak berbaloi untuk dibeli. Ia mungkin disebabkan rekaannya yang terlalu asas selain orang ramai tidak tahu akan kegunaannya pada waktu harian.
Setelah itu, kebanyakan pengilang pakaian mula tidak menghiraukannya dan Velcro diturunkan ke status sesuatu yang menarik, tetapi tidak berguna.
Namun, apabila NASA iaitu syarikat aeroangkasa mula menemui kegunaan Velcro. Angkasawan Apollo menggunakannya untuk melekatkan pen, paket makanan dan peralatan yang mereka tidak mahu berterbangan sewaktu berada di angkasa.

Malah, hospital juga meletakkan Velcro pada kebanyakan peralatan perubatan seperti di alat pengukur tekanan darah dan juga gaun pesakit. Selepas banyak industri mula menggunakannya, alat pengikat ini mulai muncul dalam pakaian pada pertengahan tahun 1960-an.
Pierre Cardin adalah pengguna awal Velcro dalam reka bentuknya dan Paco Rabanne dan Andre Courreges menggunakannya dalam pakaian futuristik mereka juga. Penggunaan Velcro tidak pernah benar-benar menonjol dalam fesyen mewah. Namun, setelah pereka terkenal mula menggunakannya, populariti Velcro semakin bertambah.
De Mestral meninggal dunia pada tahun 1990 di Commugny, kampung Switzerland. Dia juga turut menjual hak penciptaannya kepada Syarikat Velcro. Sehingga ke hari ini, Syarikat Velcro terus mengikuti jejak de Mestral, mengambil inspirasi dari dunia semula jadi dan menerapkannya untuk kegunaan industri termasuk pengupas asparagus yang banyak digunakan di negara Barat.
Sumber: velcro dcfashionweek thoughtco