Zafirah Zapri Diterbitkan 29 May 2021

Terdapat Apartmen Rahsia Di Puncak Menara Eiffel

Sewaktu Gustave Eiffel membina Menara Eiffel, beliau turut
menyiapkan apartmen peribadi untuk dirinya di puncak menara tersebut dan tiada
siapa dibenarkan masuk.


Berdasarkan sejarah, jurutera berbangsa Perancis ini telah mereka
dan membina menara besi berkenaan sempena Exposition Universelle, atau
Ekspo Dunia pada tahun 1889.

Pada awalnya, perancangan untuk mendirikan Menara Eiffel mengundang
pelbagai reaksi dan kontroversi terutama di kalangan golongan seniman yang
protes kerana beranggapan gergasi besi tersebut akan mencemarkan keindahan kota
Paris.

Namun cadangan pembinaan dari syarikat Gustave Eiffel tetap
terpilih, mengalahkan lebih 100 proposal lain.

Hasilnya binaan eksperimental ini menarik lebih dua juta
pengunjung dari seluruh peta dunia pada tahun pertama dan penduduk Paris juga
jatuh hati dengan pesonanya.

Apartmen Peribadi Gustave Eiffel

Ruang apartmen Eiffel tidak begitu besar, namun selesa untuk
didiami dan memuatkan perabot seperti kabinet kayu dan piano. Malah terdapat makmal
mini untuk penghuninya buat eksperimen.

Selain pencapaiannya yang gah, sarang kecil Gustave Eiffel di
puncak kayangan itu turut mengundang cemburu para elitis di Paris.


Dalam bukunya yang berjudul La Tour Eiffel de Trois Cent
Métres,
penulis Henri Girard mendedahkan bahawa terdapat warga Paris yang
menawarkan sejumlah wang hanya untuk sewa ruang tersebut semalaman.

Namun Eiffel konsisten menepisnya kecuali tetamu berprestij
seperti Thomas Edison.

Setelah bertahun-tahun menjadi kawasan larangan, akhirnya kawasan
ini dibuka kepada orang ramai (sebelum pandemik Covid-19) yang membeli tiket
hingga ke puncak menara untuk melawat sahaja.

Perabotnya masih sama seperti dahulu dan kelihatan dua patung
mannequin menyerupai Eiffel dan Edison sedang berbual.

Sumber: CN
Traveller
, Atlas
Obscura
, Tour
Eiffel