Carian
Tips Elak Membazir Apabila Membeli Pakaian Sewaktu Diskaun
May 31, 2021 Lina Rosli

Siapa sahaja yang tidak teruja sekiranya laman edagang kegemaran anda melakukan tawaran menarik dan diskaun secara besar-besaran atas barangan yang anda inginkan.

Lebih-lebih lagi, jika anda sudah memerhatikan barangan tersebut untuk tempoh yang lama.

Tidak salah untuk mendapatkannya, namun harus diingatkan yang mana waktu diskaun bukanlah akses untuk anda membazir. Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda cara untuk mengelakkan diri daripada membazir apabila membeli pakaian atau barangan fesyen sewaktu diskaun.


Elakkan beli pakaian yang hanya boleh digunakan untuk satu acara sahaja

Tabiat ini adalah antara yang paling kerap berlaku dalam kalangan para wanita di seluruh dunia yang mana hanya membeli pakaian yang hanya akan dipakai sekali seumur hidup.

Sebagai contoh, ramai dalam kalangan individu di Malaysia yang gemar membeli baju, namun tidak memikirkan akan kegunaan baju tersebut untuk acara yang lebih dari satu. Antara kesilapan yang dilakukan seperti membeli gaun untuk graduasi yang dipakai hanya sekali sahaja atau membeli baju yang tidak sesuai digayakan dalam gaya harian.

Oleh itu, daripada anda membazir membeli sesuatu yang khusus untuk acara-acara tertentu, cuba anda cari baju atau pakaian yang boleh dipadankan dengan mana-mana pakaian di dalam almari anda yang mana lebih mudah untuk digayakan pada bila-bila masa dan tempat.

Membeli atau mendapatkan fesyen pakaian luar dari kebiasaan

Bagi sesetengah individu, mereka tidak berani untuk mendapatkan sesuatu pakaian yang bukan seperti dirinya.

Namun, ada juga yang gemar berekperimen dengan variasi pakaian yang mana boleh menyebabkan pembaziran.

Sebagai contoh, anda membeli warna tudung yang tidak biasa anda gayakan, sudah tentu ia akan mengambil masa yang lama untuk anda sesuaikannya. Lebih teruk lagi, anda mungkin tidak akan memakainya langsung.  Bukankah itu sudah membazir? 

Oleh itu, pastikan anda bersikap realistik dan jujur ​​dengan diri sendiri. Sekiranya tidak sesuai dengan anda, membeli pakaian sewaktu diskaun bukanlah idea yang terbaik selain ia turut menyumbang kepada kesempitan ruang di dalam almari anda.


Jangan beli sesuatu hanya kerana ia murah

Sudah tentu ramai dalam kalangan individu yang mudah terpedaya dengan diskaun dan tawaran potongan harga yang dilakukan oleh kebanyakan platform edagang.

Benar, anda boleh dapatkan sesuatu pakaian pada harga yang rendah, namun fikir kembali. Adakah anda benar-benar memerlukannya? Jika tidak, elakkan daripada membeli sesuatu yang anda tidak perlukan.

Contoh situasi yang boleh anda gambarkan, jika harga asal untuk baju yang anda beli adalah RM100 sepasang. Diskaun yang diberikan pula adalah RM30, maka anda akan membelinya pada harga RM70. Tidak dinafikan anda telah jimat sebanyak RM30, namun jika anda tidak membelinya, bukankah anda akan jimat RM70 untuk pakaian yang anda mungkin tidak perlukan.

Tidak kira seberapa banyak diskaun yang. diberikan, jika anda tidak pernah memakainya, ia adalah suatu pembaziran wang.

Elakkan berbelanja secara mewah dalam masa yang singkat

Sebagai contoh, jika anda sudah membeli pakaian baru pada awal minggu, elak daripada membuat pembelian melibatkan pakaian pada minggu atau bulan yang sama.

Perbelanjaan besar yang terlalu kerap adalah satu tabiat yang buruk jika diamalkan setiap bulan. Bukan sahaja memberi kesan kepada bajet perbelanjaan anda, malah turut menyebabkan lambakan pakaian yang tidak digunakan.

Jadinya, anda perlu awasi perbelanjaan bulanan anda supaya ia tidak digunakan melebihi daripada apa yang sepatutnya. Terapkan tabiat yang mana hanya membeli satu barang untuk diri anda sekali sebulan dan lihat hasilnya pada diri, almari dan kos bulanan anda.


Ketahui apa yang ada di dalam dan di luar almari pakaian anda

Ini adalah salah satu tips yang paling penting untuk mengelakkan pembaziran.

Jika anda mempunyai bilangan pakaian yang terlalu banyak, sudah tentu anda akan mudah untuk lupa akan apa yang ada di almari pakaian yang mana mengakibatkan anda membeli pakaian yang seakan sama dengan apa yang telah ada.

Oleh itu, sebelum anda membeli sesuatu yang baru, pastikan anda mempunyai idea yang jelas mengenai apa yang ada di almari pakaian anda. Sekiranya masih tidak jelas, cuba susun dan aturkan pakaian anda mengikut jenis, warna dan jenama yang bersesuaian. Dengan ini, ia dapat mengelakkan anda membeli barang yang tidak anda perlukan secara tidak sengaja.

Komen