Pernahkah anda melihat daging stik yang telah dimasak masih mengalirkan cecair merah?
Jika hal ini berlaku, pastinya anda akan merasa tidak selesa untuk makan daging tersebut kerana ia kelihatan seperti darah.
Namun, tahukah anda sebenarnya cecair tersebut adalah bukan darah?
Hal ini kerana, darah pada daging telah dikeluarkan sepenuhnya semasa proses pembersihan awal. Malah, untuk pengetahuan anda, sekiranya darah tersebut masih ada, sudah tentu ia daging anda tidak akan berada di dalam keadaan yang baik.
Jadi, Apakah Cecair Merah Pada Daging Yang Separa Masak?
Sebenarnya, jus yang kita lihat adalah campuran air dan myoglobin yang merupakan protein yang terdapat di dalam tisu otot.
Mengulas lanjut, myoglobin adalah protein kimia yang terdapat di otot daging lembu yang pada dasarnya medium yang memberi warna merah kepada daging.
Sewaktu memasak, daging akan diletakkan di dalam suhu panas yang mana kristal ais di dalamnya akan pecah sehingga mengakibatkan keluarnya cecair merah pada permukaan daging.
Bukan itu sahaja, protein ini juga akan berubah warna apabila terkena udara dan panas. Jadi anda akan perasan yang mana bahagian luar daging akan berwarna coklat, namun bahagian dalam masih berwarna merah jika anda memilih penyediaan daging medium rare atau rare untuk daging stik anda.
Jadi, adakah cecair merah pada daging bukan darah? Jawapannya, ya bukan darah. Sebaliknya, ia adalah gabungan protein dan juga air.