Lina Rosli Diterbitkan 1 June 2021

Jus Atau Smoothie – Mana Yang Perlu Anda Amalkan?

Di kala cuaca panas ini, pastinya minuman yang menyegarkan akan menjadi pilihan ramai individu bagi mendapatkan kelegaan sementara. Antara yang digemari sudah tentulah minuman berais sama ada jus, smoothie dan juga air kisar.

Apabila bercerita mengenai jus buahan-buahan dan juga smoothie, ia sering dikaitkan sebagai minuman yang sesuai diminum untuk anda yang ingin mengamalkan diet yang sihat.


Namun, apakah yang membezakan penawaran ini?

Baiklah, tidak dinafikan kedua-dua minuman ini mengandungi buah atau kadang-kadang turut menggunakan sayuran sebagai kandungan utama. Tetapi, manakah yang lebih sihat atau pada dasarnya mana yang boleh anda minum sama ada smoothie atau jus?

Antara perbezaan utama yang boleh anda lihat adalah cara penyediaan untuk kedua minuman ini.

Smoothie dibuat dengan mencampurkan bahan. Ini bermaksud memasukkan keseluruhan buah-buahan dan sayur-sayuran ke dalam pengisar yang mana serat daripada bahan tersebut masih lagi terkandung di dalam minuman.

Sebaliknya, jus pula akan diperah daripada buah-buahan yang mana serat buah atau sayur dipisahkan dari jus.


Kepentingan serat dalam minuman anda

Secara amnya, terdapat dua jenis serat dan keduanya terdapat dalam semua jenis buah dan sayuran.

Serat tidak larut penting dalam menstabilkan pencernaan anda dan menarik air ke usus untuk memastikan semuanya bergerak. Anda akan menemui serat yang tidak larut dalam makanan seperti timun, saderi, wortel, kacang dan biji.

Sementara, serat larut pula membantu menurunkan kolesterol darah dam melambatkan penyerapan karbohidrat. Malah, serat ini juga berfungsi dalam memberi makan bakteria di dalam usus anda. Kebiasaannya, serat larut boleh didapati di dalam gandum, epal, beri, plum, kacang dan bijian.

Jadi, manakah yang sesuai untuk anda?

Adakah smoothie lebih baik untuk anda daripada jus?

Jawapannya, ia bergantung kepada keperluan badan anda. Smoothie mengandungi lebih banyak antioksidan dan serat berbanding jus. Selain itu, ia juga mempunyai banyak faedah untuk kesihatan anda.

Untuk anda yang inginkan hidangan makanan tambahan dalm rutin makan anda, maka Smoothie adalah pilihan yang baik dalam memberikan sejumlah besar nutrien, mineral dan fitokimia yang bermanfaat, terutama jika digunakan pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran.


Namun, jika anda hanya sekadar ingin menghilangkan rasa dahaga dan juga inginkan mengamalkan diet untuk mengurangkan berat badan, maka jus paling sesuai untuk anda kerana ia mengandungi kurang kalori berbanding smoothie.

Walau bagaimanapun, kedua-dua minuman mengandungi gula dan kedua-duanya dapat meningkatkan gula darah anda. Jadinya pengambilan untuk kedua minuman ini haruslah pada tahap yang optimum.