Apabila semua aktiviti perniagaan perlu dilakukan menerusi platform atas-talian, sudah tentu ia memerlukan anda untuk melakukan taktik pemasaran yang lebih menarik di dalam mendapatkan perhatian pelanggan.

Namun, anda mungkin mempunyai kekangan dalam menghasilkan rekaan yang lebih menarik untuk logo dan risalah untuk perniagaan anda.

Oleh itu, bagi membantu anda menyediakan alatan pemasaran yang lebih relevan sepanjang tempoh pandemik ini, Tajria ingin berkongsi tips dan juga perkara yang boleh anda lakukan menggunakan Microsoft PowerPoint.


Bagaimana Anda Boleh Mencipta Logo?

Terdapat beberapa alatan yang menarik di dalam Microsoft PowerPoint yang boleh anda cuba seperti SmartArt, kotak teks, imej dan bermacam-macam lagi.

Jadi apa yang perlu anda buat adalah:

1. Pilih bentuk logo yang yang inginkan. Jika anda inginkan logo berbentuk bulat, maka gunakan bentuk bulat.

2. Kemudian masukkan teks atau huruf yang melambangkan perniagaan anda.


3. Anda boleh menukar saiz teks, warna dan juga pilihan fon.

4. Untuk membuatkan text tersebut dipaparkan mengikut bentuk bulat, maka anda boleh memilih ‘Text Style’ dan seret kotak teks ke atas atau ke bawah sedikit sehingga jaraknya sama besar dengan bulatan anda.



5. Untuk menyimpan logo sebagai imej, anda perlu memilih semua item pada logo anda dan right-click dan pilih ‘Save as Picture’.

Mudah bukan, anda boleh membuat pelbagai lagi jenis logo dan rekanya mengikut pilihan yang anda gemari.

Cara Untuk  Membuat Poster Untuk Kedai Anda

Untuk membuat poster anda boleh menambah gambar produk untuk menunjukkan apa yang anda ingin jual kepada pelanggan.

Menerusi Microsoft. PowerPoint, apa yang anda boleh buat adalah pilih gambar untuk poster anda. Anda akan mendapati, ia akan mencadangkan beberapa cara susunan dan paparan gambar yang boleh anda letakkan pada poster menerusi ‘Design Ideas’.


Jika anda tidak berminat dengan cadangan yang diberikan, anda juga boleh melakukan beberapa teknik lain seperti membuang latar belakang pada gambar.

Bagaimana anda boleh membuang latar belakang gambar?

1. Pilih gambar yang anda ingin gunakan.

2. Kemudian, klik pada tab ‘Picture Format’ dan pilih ‘Remove Background’.


3. Ia akan memaparkan warna Magenta pada gambar anda yang mana bahagian tersebut adalah yang akan dibuang atau dipadam.

4. Jika anda ingin mengemaskan pemilihan bahagian, anda boleh memilih  ‘Mark Areas To Keep’ untuk memastikan latar belakang dapat dibuang sepenuh selain tidak memadam bahagian yang ingin disimpan.


Akhir sekali, anda hanya perlu menambah teks yang anda inginkan dan jangan lupa untuk simpan poster ini dalam format gambar.

Bukan itu sahaja, Microsoft PowerPoint juga mempunyai sekumpulan templat percuma, namun ia tidak begitu menarik.

Jadi, jika anda ingin menggunakan templat ini untuk rekaan yang lain, anda boleh menyimpannya sebagai templat yang mana ia boleh digunakan pada masa akan datang.