Carian
Bagaimana Cara Untuk Mengawal Emosi Semasa Krisis?
June 2, 2021 Zafirah Zapri

Emosi boleh menjadi kawan atau lawan. Ia mampu buat kita
berada dalam keadaan euforia semasa jatuh cinta, menangis kerana terluka atau
marah sebab kesesakan lalu lintas.

Setiap orang pasti pernah berhadapan dengan cabaran, drama
dan situasi yang tak menyenangkan dalam hidup atau kerjaya.

Umum mengetahui sekiranya kita membiarkan emosi menunggang pemikiran,
niat dan tindakan kita mendahului akal yang rasional, akibatnya adalah
penyesalan.


Sering kali kita mendengar nasihat atau tips yang bertebaran
seperti “Fikir positif, sila bertenang, jangan marah, jangan sedih, sabar,
sabar, sabar” dan sebagainya.

Sayangnya, kata-kata lebih mudah diungkapkan berbanding melakukannya.

Oleh itu, marilah kita sama-sama cari jalan untuk bertenang
semasa menghadapi pelbagai dugaan:

Memohon pertolongan-Nya

Kepercayaan dan keimanan adalah penyelamat kita daripada
kegelapan.

Semasa saya melalui satu fasa mendung dalam perjalanan hidup,
seorang sahabat menasihatkan saya supaya selalu berdoa, jangan pernah pandang
enteng pada senjata doa.

Mengadu pada Tuhan dan doa terbukti merupakan senjata yang
ampuh kerana bila mempraktikkannya saya rasa lebih tenang, belajar berdamai
dengan takdir, terlindung daripada situasi yang tidak diingini dan kehidupan
jadi bertambah baik. Alhamdulillah.

Jika anda terbelenggu dengan beban emosi, mohonlah bantuan
kepada-Nya. Sekiranya kita tiada bahu untuk bersandar, kita ada lantai untuk
bersujud dan berbisik.

Jangan Terus Bertindak Bila Rasa ‘Triggered’

Tidak dinafikan apabila baca berita semasa, komen-komen dan provokasi
atau serangan peribadi boleh membangkitkan ‘harimau betina beranak kecil’ yang
sedang lena dalam diri seseorang.

Terasa laju jari atau mulut mahu membidas atau membalas
namun terpaksa tekan brek kerana terus bertindak semasa emosi terusik dan
terlalu defensif boleh jadi satu kesilapan besar dan air muka menjadi taruhan.

Lagipun saya lihat parah juga akibatnya sekiranya tiada penapisan
dalam tutur kata atau tulisan kita lebih-lebih lagi di media sosial. Bak kata
pepatah moden, terlajak dron boleh diundur, terlajak kata ditangkap layar atau screenshot.

Apabila api emosi mula tercetus, mungkin anda patut tarik
nafas dalam-dalam sebelum hembus supaya dapat bertenang dan bacaan meter
tekanan darah tidak meroket naik.

Cari Saluran Yang Sihat

Kita tidak semestinya harus 24/7/365 berfikiran positif dan
menidakkan apa yang kita rasa. Setiap emosi kita perlu diakui dan disalurkan ke
jalan yang betul seperti berikut:

  • Luahkan pada seseorang yang boleh dipercayai dan amanah.
  • Sesetengah orang mungkin lebih lega dengan cara yang lebih
    agresif. Jadi anda boleh cuba aktiviti pertahanan diri seperti tinju, tomoi
    atau gusti asalkan tidak menjadikan manusia sebagai karung tinju untuk melepas
    kemarahan.
  • Apa-apa aktiviti yang boleh menenangkan anda serta mengalih
    perhatian sejenak daripada getaran negatif.
  • Apabila emosi terganggu, saya akan tulis apa, kenapa (punca)
    dan bagaimana (solusi) dalam diari supaya perkara itu jelas untuk diselesaikan.

Akhir kata, kita hanyalah manusia biasa yang emosinya naik
turun seperti roller-coaster.

Kadang mungkin kita tidak terlepas daripada membuat
kesilapan kerana kegagalan mengawal emosi. Cuma apa yang membezakan seseorang
itu adalah apakah kesilapan itu diulangi atau dipelajari.

Dalam kehidupan ini, ada sesetengah perkara berada di luar
kawalan kita seperti perasaan orang, hasil usaha, krisis ekonomi dan perubahan waktu.
Apa yang boleh kita kawal adalah menguasai pemikiran, emosi dan tindakan
diri.

Komen