Robot dan manusia tinggal bersama secara harmoni mungkin kedengaran
seperti fragmen dalam novel dan filem sains fiksyen.
Namun sebuah organisasi Hanson Robotics yang berpangkalan di
Hong Kong cuba menjadikan perkara itu sebagai bukan cereka. Pada tahun 2016,
mereka telah mencipta sebuah robot humanoid realistik bernama Sophia.
Kredit foto: Facebook Rasmi Sophia the Robot
David Hanson yang mengepalai syarikat robotik berkenaan
telah mereka cipta robot tersebut berdasarkan imej dua insan iaitu isterinya
dan mendiang pelakon legenda Audrey Hepburn.
Sophia dikatakan mampu membuat mimik muka atau ekspresi
wajah seperti manusia dan berinteraksi dengan orang ramai.
Pada tahun 2017, kerajaan Arab Saudi menganugerahkan kerakyatan
kepada Sophia, sekali gus diangkat sebagai robot pertama yang mempunyai kewarganegaraan.
Gabungan Antara Sains, Kejuruteraan dan Kesenian
Sophia direka untuk tujuan penyelidikan dalam kepintaran
buatan, pendidikan dan hiburan.
Menurut portal Business Insider, Sophia dilaporkan sedang memulakan
kariernya sebagai artis muzik setelah berhasil menjual karya seni digital dengan
harga $688,888.
Dalam bakal projek muzik ‘Sophia Pop’ itu nanti, robot tersebut
akan bergandingan dengan para pemuzik untuk menghasilkan lirik dan lagu bagi
projek berkenaan.
Kredit foto: Facebook Rasmi Sophia
the Robot
David Hanson menggambarkan detik-detik sepanjang proses
artistik tersebut di mana pasukannya menggunakan banyak rangkaian enjin transformer
dalam seni dan pelbagai jenis komputasi kreativiti yang membolehkan mesin
tersebut menjadi kreatif.
Mahu Hasilkan Lebih Banyak Kerabat ‘Sophia’?
Terkini media Reuters melaporkan syarikat robotik itu bersedia
untuk penghasilan robot secara besar-besaran semasa pandemik.
Dalam satu temu bual bersama Reuters, David Hanson
berpendapat dunia era Covid-19 ini perlukan lebih banyak automasi bagi
memastikan keselamatan orang ramai.
Ujarnya, solusi robotik ini bukan sahaja terhad kepada sektor
kesihatan tetapi juga dalam industri peruncitan dan penerbangan. Beliau target
untuk menjual ‘ribuan’ robot bersaiz besar dan kecil pada tahun 2021 tanpa memberitahu
angka spesifik.
Selain itu, produk daripada pemain industri lain turut
terjun ke gelanggang bagi menentang pandemik misalnya robot syarikat SoftBank
Robotics’ Pepper mengesan orang yang tidak memakai pelitup muka manakala
syarikat robotik CloudMinds pula menyediakan robot untuk jadi ‘runner’
di hospital sewaktu wabak coronavirus menyerang Wuhan.
Sumber: Reuters,
Business
Insider, Hanson Robotics