Carian
Perubatan Tradisional Gamat – Masih Lagi Relevan?
June 4, 2021 Lina Rosli

Gamat yang juga dikenali sebagai Timun Laut atau Sea Cucumber merupakan sejenis hidupan laut daripada kelas Holothurioidea. Terdapat pelbagai spesis gamat, antaranya Sticophus variegatus, Holothuria atra dan Thelenota ananas. Selain itu, spesis ini terdiri daripada pelbagai kombinasi warna seperti putih, hitam, merah dan biru.

Bukan itu sahaja, gamat juga dikenali sebagai spesis laut yang tidak bertulang dan mempunyai badan yang lembut. Secara amnya, gamat boleh membesar daripada beberapa millimeter hingga mencapai saiz melebihi dua meter panjang.

Jika di Malaysia, ia banyak dijumpai di perairan Pulau Langkawi dan Pulau Tioman. Maka tidak hairanlah mengapa kebanyakan pulau ini telahpun menjadi pengeluar gamat terbesar di pasaran tempatan.


Kegunaan Gamat Dalam Kegiatan Harian

Di Malaysia, gamat amat sinonim dengan perubatan tradisional Melayu. Gamat akan disediakan daripada sumber mentah sebagai hidangan makanan atau diproses untuk digunakan sebagai perubatan alternatif mahupun untuk tujuan kecantikan.

Gamat yang diproses pula boleh dijadikan minyak untuk penyembuhan luka atau rawatan penyakit kulit dan juga boleh diminum sebagai tonik kesihatan. Terdapat juga produk gamat yang boleh disapu pada wajah dan badan untuk mendapatkan kulit yang cantik

Bukan sekadar itu, masyarakat Cina juga mengamalkan penggunaan gamat dalam perubatan tradisional. Dikenali sebagai Ginseng Laut, ia disenaraikan sebagai ramuan perubatan tradisonal yang dikatakan mampu meningkatkan kualiti darah dan juga organ penting termasuk menguatkan buah pinggang.


Kandungan Yang Terkandung Di Dalam Gamat

Menurut kajian, kandungan protein dalam gamat boleh mencapai hampir 55%, disamping nutrien lain seperti mucopolysaccharides pula sehingga 16% dan selain mengandungi lemak yang rendah.

Selain itu juga, gamat turut hadir dengan Mucopolysaccharides iaitu bahan dalam pembentukan kartilaj tulang yang amat berguna untuk mengurangkan masalah sakit sendi. Selain daripada itu, ia turut mengandungi bahan antioksidan dan Vitamin E yang berfungsi dalam sistem pertahanan badan.

Sehingga hari ini, produk berasaskan gamat sentiasa mendapat tempat dikalangan penggunanya. Walaubagaimanapun, sebagai langkah keselamatan, produk yang mengandungi gamat bagi pengambilan secara oral perlulah diperiksa akan kesahihannya terlebih dahulu.

Hal ini kerana, terdapatnya gangguan pada habitat gamat di perairan laut yang sedikit sebanyak telah menimbulkan kegusaran pada khasiat yang terkandung di dalamnya.  

Menurut sampel data oleh Frontiesin, persekitaran laut dapat mempengaruhi keadaan gamat yang mana ia mengambil nutrien daripada plankton dan juga habitat yang telah reput di laut. Oleh sebab itu, masih banyak lagi kajian saintifik yang perlu dilakukan secara lebih bagi membuktikan bahawa gamat mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan selamat untuk dimakan. 

Sumber: aquaticcommons frontiersin

Komen