Tahukah anda, sebelum anda membersihkan kuali atau periuk selepas masak, anda sebenarnya perlu membiarkan ia sejuk terlebih dahulu sekitar 20 hingga 30 minit?

Hal ini kerana, apabila kuali dipanaskan atau disejukkan dengan cepat, beberapa bahagian pada kuali akan mengembang atau menguncup lebih cepat. Pengembangan dan pengecutan yang tidak sekata inilah yang mengakibatkan kuali anda rosak dan melengkung.


Bukan itu sahaja, terdapat tiga lagi perkara lain yang perlu anda praktikkan sewaktu menguruskan kuali iaitu:

Keringkan Periuk Atau Kuali

Pastikan anda mengelap bahagian luar periuk dan kuali anda sama ada sebelum dan juga selepas setiap penggunaan.

Hal ini kerana, terdapat kemungkinan yang mana kotoran yang tidak dicuci akan melekat pada kuali sewaktu dipanaskan di atas dapur gas, sekaligus menyebabkan ia hangus dan melekat pada kuali.

Selain itu juga, selepas setiap kali penggunaan, kuali perlu dikeringkan kerana apabila udara dan air berinteraksi pada sekitar kuali, ia akan menyebabkan kuali anda berkarat lebih cepat.


Pastikan Saiz Kuali Berpadanan Dengan Dapur Gas

Mengapa anda perlu menggunakan saiz yang berpadanan?

Jawapannya, ia amat penting untuk mengelakkan api dapur gas anda memanas ke kawasan pemegang yang bukan keluli yang mana boleh menyebabkan getah tersebut memanas dan cair.

Sekiranya anda tidak mempunyai pembakar yang sesuai dengan ukuran tepat alat memasak anda, pilihlah dapur gas yang sedikit lebih kecil atau gunakan periuk atau kuali yang tidak mempunyai komponen bukan keluli.

Kerap Menggaul Makanan Ketika Menumis

Bukan itu sahaja,  pengadukan bahan tumisan secara berterusan sangat penting untuk mengelakkan sos melekat pada periuk anda.

Hal ini kerana, apabila makanan duduk atau terbiar lama di satu tempat, bahagian yang menghadap logam atau keluli lebih cenderung terbakar dan meninggalkan sisa-sisa yang terbakar.

Selain itu, cuba perlahankan api ke sederhana dan juga mengubah kedudukan kuali di atas api.  Ia supaya kuali anda tidak terdedah kepada api terlalu lama serta membantu dalam menjadikan bahagian panas menjadi sejuk dan tempat sejuk menjadi panas.