Carian
Ikuti Tips Mengelakkan Bekas Makanan Anda Bertukar Warna
June 8, 2021 Lina Rosli

Tabiat menyimpan makanan di dalam bekas plastik sebaiknya perlu dikurangkan kerana ia boleh menyebabkan bekas anda bertukar warna sama ada kelihatan keruh ataupun mula menjadi jingga kekuningan.

Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca kepada masalah ini seperti:

Memanaskannya Di Dalam Ketuhar Gelombang Mikro

Secara umumnya, memanaskan makanan menggunakan bekas makanan plastik di dalam ketuhar gelombang mikro adalah selamat. Ia masih akan mengekalkan tekstur, rasa dan kualiti makanan anda.

Namun, disebabkan suhu yang terlalu tinggi ia mungkin akan memberikan kesan kepada bekas makanan anda. Untuk pengetahuan anda, ia boleh mengakibatkan pemindahan atau kebocoran bahan kimia ke dalam makanan dan seterusnya melekat ke bekas makanan anda.


Oleh itu, walaupun bekas plastik dilabel mesra ketuhar gelombang mikro dan tidak cair ketika dipanaskan tetapi ia berisiko untuk mengubah warna bekas plastik anda jika dipanaskan terlalu lama.

Jadinya, adalah lebih baik jika anda memindahkan makanan anda ke pinggan sebelum memanaskannya atau memilih bekas kaca yang lebih selamat.

Membiarkan Bekas Makanan Menyimpan Makanan Terlalu Lama

Untuk sesetengah makanan seperti kunyit, kari atau makanan lain yang berminyak tidak sesuai disimpan di dalam bekas plastik.

Hal ini kerana, banyak bahan kimia yang digunakan dalam plastik dilihat berkemungkinan boleh larut dalam lemak dan lebih cenderung masuk ke makanan berlemak.

Oleh sebab itu, anda akan melihat bekas makanan anda akan bertukar warna kearah jingga kekuningan setiap kali anda menyimpannya di dalam peti sejuk untuk beberapa ketika.


Goresan Dan Calar Pada Bekas Plastik

Sebilangan besar bekas plastik adalah bersifat lembut dan mudah tergores di dalam atau di luar bekas.

Kesan apabila bekas makanan anda tergores, ia kan menyebabkan bekas anda lebih mudah untuk dihinggapi bakteria pada bahagian calar yang sukar untuk dibersihkan. Oleh itu, anda akan mendapati bekas plastik tersebut lama kelamaan menjadi keruh dan tidak jernih.

Sebaiknya, anda perlu gunakan berus lembut yang diperbuat daripada silikon lembut dan elakkan berus dengan bulu yang keras dan tajam.

Bagaimana Jika Bekas Plastik Sudah Mula Bertukar Warna?

Rendam bekas dalam larutan pemutih yang bersifat ringan.

Anda disyorkan untuk mencampurkan satu sudu peluntur klorin cair dengan satu cawan air suam untuk menanggalkan kotoran yang sudahpun melekat pada bekas plastik anda.

Kemudian tuangkan larutan itu terus ke dalam bekas. Pastikan anda merendam keseluruhan bekas ataupun periksa sama ada kawasan yang kotor telah direndam dengan betul.

Waktu yang diperlukan untuk merendam adalah sekitar 30 minit. Selepas itu, bersihkan dan basuh bekas di dalam air sabun yang panas. Oleh kerana anda menggunakan peluntur, anda perlu memastikan anda membilas bekas anda sehingga hilang bau kerana bimbang cecair tersebut masih lagi tidak dibersihkan dengan baik.

Akhir sekali, harus diingatkan yang mana anda perlu segera membuang dan mencuci makanan dan jus yang disimpan di dalam bekas plastik sekiranya tidak digunakan. Melaluinya, anda dapat mengelakkan lebih banyak bekas anda yang rosak selain dapat menjimatkan ruang di dalam peti sejuk.

Komen