Carian
Susu UHT Vs Susu Segar – Kenapa Susu Tidak Sesuai Disimpan Di Dalam Botol Kaca?
June 9, 2021 Lina Rosli

Tidak dinafikan, kedua-dua jenis susu sama ada susu UHT (Ultra Heat Temperature) dan susu segar adalah salah satu sumber kalsium dan magnesium yang sangat baik. Khasiat ini diperlukan untuk pertumbuhan tulang dan gigi serta jantung yang sihat.

Namun, apakah perbezaan antara kedua jenis susu ini?

Manakah yang lebih sesuai untuk kegunaan harian?

Jika bercerita dari sudut pemakanan, semua susu lembu pada dasarnya hadir dengan sumber nutrien utama yang sama. Namun, yang membezakannya adalah cara pemprosesan dan penyediaan di dalam bungkusan yang anda lihat di pasaran.


Apa Itu Susu UHT?

Susu UHT atau susu dengan suhu ultra tinggi biasanya dipanaskan hingga 132 darjah Celcius selama 2 saat. 

Setelah dipanaskan, ia akan dibungkus secara aseptik ke dalam bungkusan yang disteril. Proses ini juga dikenali sebagai pensterilan yang mana ia akan  membersihkan susu daripada bakteria kerana apabila di suhu ini, kebanyakan bakteria akan mati.

Susu ini juga turut dikenali sebagai susu hayat panjang kerana ia telah disteril sebelum dibungkus sehingga mampu memberi ketahanan sehingga 9 bulan jika diletakkan di luar peti sejuk. Namun, pastikan ia tidak pernah dibuka sebelum itu.


Kegunaan Susu UHT Di Dalam Pemakanan Harian

Kebiasaannya, susu UHT ini akan digunakan dalam penghasilan dan penyediaan seperti jus buah, krim, susu soya, yogurt dan juga untuk sup dan juga air rebusan.

Untuk pengetahuan anda, susu UHT pertama kali digunakan pada sekitar tahun 1960-an dan mula tersedia untuk dimakan pada tahun 1970-an.

Apa Itu Susu Segar?

Susu segar boleh terdapat dalam pelbagai bentuk yang biasanya jika dipasarkan di pasaran, ia dijenamakan sebagai susu lemak penuh, susu rendah lemak, susu berperisa, skim ataupun dadih.

Berdasarkan Akta Makanan 1983 dan Regulasi Makanan 1985, susu segar bermaksud susu normal, bersih dan segar yang dihasilkan oleh lembu, kerbau atau kambing yang sihat. Untuk mendapatkan susu ini, ia perlu mempunyai tidak kurang daripada 3.25% lemak dan 8.5% pepejal bukan lemak.

Berbeza dengan cara pemprosesan susu UHT, ia biasanya akan dipanaskan sehingga 75 darjah Celcius selama 15 saat untuk mematikan bakteria.


Ia juga mempunyai rasa yang lebih segar berbanding susu UHT yang anda akan mendapati rasanya sedikit terbakar dan pahit dihujungnya.

Malah, ia juga mempunyai hayat yang pendek iaitu sekitar 35 hari jika diletakkan di luar. Namun, untuk rasa yang lebih baik, ia perlu sentiasa disejukkan pada suhu sekitar 4 darjah Celcius.

Pembungkusan Untuk Kedua-Dua Jenis Susu

Susu segar dan UHT dibungkus menggunakan kotak atau plastik pembungkusan minuman yang tidak telus cahaya.

Hal ini kerana, vitamin yang terdapat dalam susu sangat sensitif kepada cahaya. Jadinya, ia memerlukan pembungkusan yang lebih kedap cahaya supaya kualiti susu terjaga.

Oleh sebab itu juga, untuk susu yang diletakkan di dalam botol kaca, ia lebih cepat rosak kerana semakin lama susu terdedah dengan cahaya, semakin berkurangnya kandungan vitamin di dalam susu terutamanya vitamin B2  atau  riboflavin yang boleh musnah akibat terkena cahaya. Ia sekaligus akan mengubah rasa susu tersebut.

Walau bagaimanapun, susu yang diletakkan di dalam botol kaca akan mengekalkan susu sejuk yang lebih lama berbanding di dalam kotak yang boleh menyebabkan susu lebih cepat rosak.

Sumber: Research Gate

Komen