Terkini, Volvo nampaknya telah melancarkan pelitup muka tersendiri yang dikenali sebagai ‘Volvo Batik Reusable Facemask’. Penawaran ini dikatakan adalah usaha dalam memartabatkan komuniti setempat

Menerusi kolaborasi antara Volvo Car Malaysia, Three Little Ahmads dan Nano Textile, ia membawakan pelitup muka anti-mikrob yang memfokuskan kepada kelestarian.
Pelitup muka ini menampilkan produk yang dihasilkan oleh komuniti setempat yang merangkumi ibu-ibu tunggal, wanita di kawasan luar bandar dan alumni vokasional GIATMara. Ia.bagi membantu mereka yang telah kehilangan pekerjaan dalam mengharungi situasi yang sukar disebabkan pandemik ini.

Di samping membantu komuniti yang terkesan akibat pandemik, Volvo juga hadir dengan inisiatif bagi melindungi dan memperbaiki persekitaran dan masyarakat secara meluas.
Mereka membawakan pelitup muka fabrik yang boleh digunakan semula dengan corak Batik Tekap yang unik. Penghasilan pelitup muka dengan corak batik ini dilihat selari dengan identiti masyarakat di Malaysia di samping mengetengahkan warisan seni Negara.

Menurut NanoTextile iaitu syarikat disebalik penghasilan fabrik untuk pelitup muka ini, setiap produk yang dikeluarkan, ia diperbuat daripada 100 peratus kain kapas, anti bakteria, kalis air dan memberi perlindungan terhadap bakteria selain mampu bertahan sehingga 100 kali cucian lembut.
Jadi, bagi yang berminat, ‘Volvo Batik Reusable Facemasks’ ini ditawarkan pada harga RM99 satu set. Untuk setiap set, anda boleh mendapatkan tiga helai pelitup muka dengan tiga warna berbeza. Untuk mendapatkannya, ia boleh dibeli di pengedar Volvo rasmi di seluruh negara.