Mempelajari cara menjahit sama ada menggunakan tangan atau mesin adalah satu keperluan.
Hal ini kerana, ia dapat menjimatkan wang anda setiap kali pakaian terkoyak, jahitannya meretas ataupun keadaan yang mana butang baju anda tercabut.
Bagi kebanyakan individu, mengetahui cara menjahit jahitan lurus sudahpun mencukupi. Namun, adakalanya jahitan tersebut tidak bersesuaian dengan keadaan pakaian anda.
Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi beberapa jahitan lain yang boleh anda cuba. Ia bagi memastikan bahagian yang dijahit tampak lebih kemas dan tahan lebih lama selepas dijahit semula.
Jahitan Jelujur Halus
Ia adalah jenis jahitan sementara.
Jahitan jelujur halus digunakan untuk membaiki kelepet meretas. Ia biasanya dilakukan bagi menyambungkan dua tau lebih kepingan kain sekiranya anda tidak mempunyai mesin.
Disebabkan ia bersifat sementara, jadi ia tidak sesuai untuk digunakan pada pakaian. Fungsinya lebih menjurus kepada jahitan yang memegang kain supaya tidak bergerak sewaktu ingin menjahit atau sebagainya.
Selain jelujur halus, anda juga boleh mencuba jelujur kasar atau jelujur tidak sama.
Jahitan Kia
Ini adalah jenis jahitan yang paling kerap digunakan dalam proses untuk menjahit klim meretas.
Jahitan ini juga digunakan untuk memulakan dan mematikan jahitan tangan. Hal ini kerana, jenis jahitan ini adalah lebih kukuh, rapat dan kelihatan seperti jahitan mesin.
Untuk mencuba jahitan ini, anda boleh:
- Mulakan jahitan dari kiri ke kanan.
- Cucuk jarum pada titik 1 ke titik 2 dengan jarak 1 mm hingga 2 mm. Untuk mematikan jahitan, anda boleh menjahit di titik yang sama dua kali.
Jahitan Sembat
Jahitan sembat biasanya digunakan untuk menetapkan kelepet. Terdapat dua jenis sembat iaitu sembat susup dan sembat halus.
Ia adalah kategori jahitan pengemas yang mana jahitannya kelihatan lebih halus, rapat dan kukuh serta boleh dilihat dari sebelah luar pakaian.
Sebagai contoh, ia digunakan untuk mengemaskan dan menjahit kelepet baju kurung.
Caranya:
- Lipat dahulu bahagian yang hendak dijahit.
- Seterusnya, anda akan mulakan jahitan menggunakan jahitan kia. Kemudian, serongkan jahitan pada sudut 30 darjah.
Jahitan Lilit Kemas
Untuk jahitan ini, ia digunakan untuk mengemaskan tepi fabrik dan mengelakkan fabrik dari berjerumbai.
Biasanya, jahitan ini juga digunakan untuk menjahit butang katub, cangkuk dan palang.
Cara melakukan jahitan ini, anda boleh menjahit seakan melilit fabrik. Pastikan jarum dalam keadaan tegak dan hujung jarum menghala ke arah penjahit.
Selain jahitan lilit kemas, anda juga boleh menggunakan jahitan lilit ubi.
Jahitan Insang Pari
Jahitan ini digunakan untuk mengemaskan tepi fabrik dan sebagai jahitan perhiasan untuk menjahit motif.
Untuk mencuba kaedah jahitan insang pari, mulakan dengan beberapa jelujur halus menegak. Pastikan jarum menegak dan dikeluarkan ke arah penjahit.
Berikut adalah beberapa teknik atau cara jahitan yang boleh anda gunakan untuk membaiki pakaian anda yang rosak atau koyak. Selamat mencuba.