Setiap bentuk kasut hadir dengan keistimewaannya yang tersendiri. Ia merangkumi bentuk, warna, binaan dan juga keselesaan dalaman.
Bercakap mengenai bentuk, terdapat beberapa bentuk yang boleh anda temui pada rekaan kasut di pasaran. Antaranya bentuk muncung runcing di hadapan, muncung bulat ataupun muncung terbuka.

Perbezaan bentuk ini sebenarnya memainkan peranan penting dalam memberi hasil akhir yang menarik pada si pemakai.
Oleh itu, anda harus kenali dan ketahui jenis kasut anda bagi menyesuaikannya dengan pakaian anda pada ketika itu. Bagi membantu anda, Tajria hari ini ingin berkongsi petua untuk memadankan seluar atau skirt anda dengan bentuk kasut yang berbeza.
Kasut Dengan Muncung Runcing
Untuk kasut muncung runcing ini, ia sesuai dipadankan dengan seluar jenis kembang ataupun seluar denim bell-bottom yang mana ia akan menjadikan kaki anda kelihatan lebih nampak kurus dan panjang.

Bukan itu sahaja, ia juga sesuai dipadankan dengan jenis skirt yang melepasi pergelangan kaki. Ia kerana kasut muncung runcing boleh memberi kesan ilusi kaki tampak lebih kecil untuk jenis kain yang kembang.
Kasut Dengan Muncung Bulat
Sementara kasut muncung bulat, ia lebih memfokuskan kepada keselesaan. Hal ini kerana, struktur bahagian kasut muncung bulat akan mengelilingi jari kaki.
Oleh kerana, ia berbentuk bulat, jadi ia tidak akan memberikan visual jari kaki yang panjang. Untuk mengimbangi ini, pemilihan pakaian anda haruslah sesuai.

Anda boleh menggunakan skirt atau seluar dengan di atas buku lali atau menampakkan sedikit sebahagian kaki.
Sebagai contoh, anda boleh menggayakan kasut muncung bulat dengan skirt midi atau palazo midi. Anda juga boleh menggayakan kasut muncung bulat dengan seluar jenis skinny.
Elakkan daripada memakai pakaian kembang seperti seluar bell-bottom atau gaun labuh.
Kasut Dengan Muncung Badam
Ia juga dikenali sebagai almond toe flat.
Kasut jenis ini kelihatan seakan muncung bulat, namun ia mempunyai sedikit bucu tajam di hadapan yang menjadikan ia kelihatan lebuh chic dan trendy.


Anda boleh menyesuaikan kasut ini dengan seluar jenis lurus atau skinny. Sementara untuk skirt, ia boleh digayakan dengan pelbagai jenis skirt tanpa perlu risau panjang dan corak padanya.
Ia juga boleh dipadankan dengan gaun dan abaya kerana ia dapat memberikan imej lembut dan ilusi kaki yang panjang kepada si pemakai.
Kasut Dengan Muncung Terbuka
Untuk gaya yang lebih santai, pereka fesyen kebanyakannya mengesyorkan memadankan skirt dan seluar dengan kasut jenis muncung terbuka. Lebih-lebih lagi untuk skirt yang panjang, anda akan kelihatan lebih menarik jika menggunakan kasut muncung terbuka bertali.

Akhir sekali, Tajria ingin memberikan tips tambahan dalam pemilihan kasut yang bersesuaian. Contohnya, untuk kasut ke pejabat, anda boleh memilih kasut yang lebih mudah untuk dipakai seperti kasut sarung dengan muncung empat segi. Ia kerana ia tidak kelihatan terlalu menyerlah namun masih memberikan keselesaan yang maksima.
Konklusinya, ia adalah penting untuk anda mengetahui bahawa pemilihan bentuk kasut memainkan peranan penting dalam menjadikan fesyen harian anda lebih menarik.