Zafirah Zapri Diterbitkan 15 June 2021

Koleksi Muzium Patah Hati Ini Menyimpan Memori Cinta Luka

Sekali pandang, koleksi Muzium Patah Hati di Croatia ini mungkin
kelihatan biasa dan sama seperti barang yang ada di rumah kita seperti
seterika, pembakar roti dan pengering rambut.

Namun setiap objek di muzium ini sebenarnya ada cerita
tersendiri dan mempunyai nilai sentimental terutama tentang cinta yang tidak
kesampaian.

Gambar sekadar hiasan

Bagaimana Muzium Ini Bermula

Diinspirasikan daripada perpisahan mereka, Olinka Vistica, penerbit
filem dan bekas kekasihnya, Drazen Grubisic, pengukir arca berpakat untuk
mendirikan sebuah muzium bagi mempamerkan koleksi barangan peribadi tinggalan sejarah
perhubungan cinta yang gagal.

Pada mulanya, koleksi yang ada di muzium didermakan oleh rakan-rakan
terdekat dan penduduk tempatan. Kemudian mereka mengadakan siri jelajah dunia dan
sepanjang persinggahan, ramai pengunjung turut mendermakan barangan mereka
untuk tatapan umum.

Koleksi Muzium

Terdapat banyak kisah menarik di sebalik ribuan objek ini,
ada yang tragis, lucu dan manis. Paling sedih kisah sekeping poskad, pemilik
asalnya merupakan seorang wanita veteran dari Yerevan, Armenia.

Ceritanya, poskad itu diselitkan ke pintu rumahnya oleh
seorang lelaki yang tinggal berjiran. Sudah tiga tahun anak jirannya itu
memendam cinta terhadapnya.

Suatu hari, pemuda tersebut membawa keluarganya untuk
meminang si gadis mengikut tradisi lama orang Armenia namun pinangan itu
ditolak mentah-mentah kerana bakal mentua tak jadinya berasa lelaki itu tidak
layak untuk anak mereka.

Lelaki dan keluarganya meninggalkan rumah itu dengan
perasaan marah dan kecewa. Itulah hari terakhir dia melihat pemuda itu kerana
kereta yang dipandu oleh lelaki itu menjunam ke gaung pada petang itu juga.

Pelbagai barangan lain lagi adalah:

  • Kapak yang digunakan
    untuk mengapak perabot pemberian bekas kekasih.
  • Seterika yang pernah digunakan untuk menggosok baju pengatin.
  • Patung mainan Godzilla yang digunakan
    oleh seorang lelaki untuk menyangkut anting-anting dan gelang daripada bekas
    teman wanitanya.
  • Kotak rokok yang berisi surat cinta.
  • Sebelah stiletto yang
    tersimpan sebagai memento.

Oleh itu sekiranya anda masih simpan hadiah pemberian bekas
kekasih seperti teddy bear, tiket wayang atau Netflix gift cards, jangan bakar atau
buang dulu. Sebaliknya mungkin boleh dermakan kepada muzium ini kerana benda
yang sudah jadi sejarah dan artifak memang tempatnya di muzium.