Bagi anda yang gemar menyediakan sarapan roti bersama jem, hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda tips dan cara membuat jem kegemaran anda menggunakan bahan dan alatan di rumah.
Selepas ini, anda tidak perlu risau akan kehabisan stok untuk jem buah-buahan anda di samping anda boleh mencuba resipi ini menggunakan buah-buahan yang berbeza seperti beri, pic, epal, nenas, limau mandarin dan banyak lagi.

Bahan-bahan
- 500g buah strawberi
- 3-4 sudu besar madu atau anda juga boleh gunakan 2-3 sudu gula
- 3 sudu jus perahan lemon
Cara Penyediaan
- Basuh buah strawberi sehingga bersih dan buang tangkai dan daun.
- Potong buah tersebut kepada empat bahagian. Ia bagi memudahkan buah dimasak sehingga lembik.
- Kemudian, masukkan buah strawberi ke dalam periuk dan masak dengan api kecil sehingga lembik.
- Untuk paras air, anda disarankan untuk masuk sekitar 1/3 daripada buah tersebut kerana selepas dimasak, buah strawberi akan mengeluarkan airnya yang tersendiri.
- Pastikan anda sentiasa kacau dan gaul bahan supaya tidak hangus di bahagian bawah.
- Selepas itu, masukkan gula dan kacau sebati hingga semua gula hancur.
- Tambahkan, jus lemon ke dalam periuk. Anda boleh menambahnya selepas jem anda mula kelihatan pekat dan likat.
- Akhir sekali, tutup api dan sejukkan. Setelah sejuk, baru masukkan jem ke dalam botol kaca.

Jika anda ingin membuat jem anda tahan lebih lama, anda boleh mencampurkan serbuk pektin. Ia adalah karbohidrat kompleks yang biasanya ditemui pada buah-buahan. Pektin merupakan sumber serat makanan larut air yang mana ia membantu jem anda membentuk gel ketika terjadi pencampuran dengan zat asam dan gula dalam kadar tertentu.
Selain itu juga, kuantiti gula boleh diukur mengikut citarasa anda sendiri. Jika anda menggemari jem yang manis, anda boleh menambah lagi kuantiti gula. Namun, jika anda suka akan rasa asli buah, hanya letak dua sudu gula sudah memadai. Selamat mencuba!