Pintu jenis gelangsar adalah pintu yang paling kerap digunakan di kebanyakan rumah teres dan juga pangsapuri. Menerusinya ia menjadikan reka bentuk rumah lebih menarik selain berfungsi dalam memudahkan urusan keluar masuk barang yang besar melalui pintu.
Untuk pengetahuan anda, pintu gelangsar ini mula dipopularkan sejak dekad pertama abad ini yang mana ia dilihat menawarkan struktur yang lebih ringan dan fleksibel. Inovasi ini membuka jalan untuk satu rekaan baru yang mana menghubungkan ruang dalaman dan luaran untuk kebanyakan rumah menjadi lebih mesra dan terasa lebih luas.
Asal Usul Pintu Gelangsar
Menurut penulisan yang ditulis Sarah Winter menerusi artikel Origins Of Sliding Glass Doors, pintu gelangsar ini telah diperkenalkan sejak zaman sebelum perang, iaitu waktu antara permulaan abad kedua puluh hingga Perang Dunia II. Beberapa sejarawan percaya bahawa ia diadaptasi dari pintu tradisional China yang turut digunakan dikebanyakan rumah di Jepun yang disebut Shoji. Ia adalah pintu gelangsar dengan kertas lut yang dilekatkan pada kisi atau bingkai kayu.
Bercerita mengenai Shoji, ia telah diperkenalkan beratus-ratus tahun sebelum 400 SM. Ia telah mengembara ke pelbagai negara dengan budaya yang pelbagai. Sejak kebelakangan ini, pintu shoji terus menjadi paparan karya seni yang popular selain menjadi perabot yang dapat digunakan sebagai pembahagi ruangan tidak kira di rumah atau di pejabat.
Berdasarkan Sliding Door Stuff, Shoji digunakan secara meluas di Jepun semasa Zaman Kamakura iaitu pada tahun sekitar 1192. Nama itu berasal dari Shoin, sebuah ruang belajar yang terbuka ke beranda.
Kemudian, evolusi pintu gelangsar ini diteruskan ke Eropah yang mana pada tahun 1853, seorang pegawai tentera laut yang bernama Matthew C. Perry telah mendarat di Jepun. Perry memainkan peranan penting dalam pembukaan sempadan Jepun ke dunia Barat semasa Konvensyen Kanagawa. Disebabkan itulah, pintu gelangsar Shoji Jepun mula bergerak ke seluruh dunia.
Mengapa Pintu Gelangsar Menjadi Pilihan Dalam Pembikinan Rumah?
Pintu gelangsar kaca yang kita lihat sekarang telah diubahsuai untuk kediaman yang lebih moden dengan bahan yang lebih kukuh seperti kaca yang mana telah ditambah baik daripada idea kertas nipis.
Apabila pintu gelansar moden diperkenalkan, ia dilihat hadir dengan beberapa keistimewaan dan kelebihan berbanding pintu kayu biasa.
Antaranya, ramai yang menganggap pintu ini paling sesuai untuk memaksimumkan ruang yang terhad. Hal ini kerana, tidak kira berapa pintu kayu biasa yang anda pasang, bukaan terbesar hanya sekitar 1 hingga 1.2 meter sahaja yang mana jika dibuka kedalam, ia akan mengambil ruang lain dan tidak dapat digunakan secara maksima.
Namun, untuk pintu gelangsar, ia memungkinkan pembukaan yang jauh lebih besar, terutamanya jika anda mempunyai pintu dengan tiga atau empat panel yang memboleh pengudaraan dapat di diedarkan dengan lebih maksima tanpa mengganggu ruang yang lain.
Selain itu juga, dengan pintu gelangsar, ia juga dapat meningkatkan kecekapan tenaga rumah anda dengan mengurangkan keperluan penyaman udara, penggunaan lampu ketika waktu siang selain mampu menghilangkan bau dan aroma yang tidak menyenangkan yang terperangkap di dalam rumah.
Jadi, tidak hairanlah mengapa kebanyakan rumah atau kontraktor lebih menggemari penggunaan pintu gelangsar ini dikebanyakan rumah dan bangunan.