Kandi Dalgona adalah salah satu manisan di Korea Selatan yang menggunakan gula sebagai bahan utama. Apabila dipanaskan di atas pan bersama-sama dengan sedikit air dan soda penaik, ia membentuk satu tekstur yang likat dan kemudiannya menjadi keras apabila telah sejuk.
Seperti yang anda sedia maklum, trend popular Dalgona sememangnya sudah tidak asing lagi semenjak tahun 2020 yang lepas. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini ia tidak lagi mendapat sambutan hangat.

Cara Penyediaan Kandi Dalgona
Tidak dinafikan cara penyediaannya amat ringkas dan mudah. Terdapat tiga sahaja bahan yang anda perlukan. Ia adalah:
- 200g gula
- 50ml air
- 10g soda penaik
Untuk bahan ini, ia boleh menyediakan dalam sekitar 1 balang biskut yang bersamaan dengan 500ml isipadu di dalamnya.
- Langkah pertama yang anda perlu lakukan adalah memanaskan dan mencairkan gula dengan menambah air sehingga menjadi sirap yang likat di atas pan atau kuali non-stick.
- Secara beransur-ansur campuran bertukar menjadi warna coklat keemasan.
- Kemudian, matikan api dan mula menambahkan sedikit soda penaik ke dalam campuran gula sambil terus mengacau sehingga adunan menjadi kembang.
- Setelah dimasak, campuran gula dituangkan ke permukaan rata dan diratakan untuk membentuk bulatan yang sempurna. Untuk gaya di Korea Selatan, kebiasaannya, para peniaga akan mencetak pelbagai motif di atasnya untuk memberikan hasil yang unik.
- Setelah keras, ketukkan dan hancurkan kandi atau biskut anda menjadi serpihan yang lebih kecil.

Apakah Makanan Atau Minuman Yang Boleh Anda Letak Kandi Dalgona?
Disebabkan ia berasal dari gula, anda boleh menggunakan kandi dalgona ini untuk pelbagai jenis minuman dan masakan seperti air kopi, teh, atau anda minuman harian anda yang lain.
Malah, anda juga boleh memakannya begitu sahaja kerana teksturnya yang rapuh dan rangup. Namun, harus diingatkan pengambilan kandi ini mestilah diparas yang sepatutnya dan tidak dimakan secara berlebihan.
Bukan itu sahaja, selain dikenali dengan nama Dalgona, kandi gula ini juga dikenali dengan banyak nama lain termasuk gula-gula sarang lebah, span toffee atau cinder toffee. Ia dipanggil sarang lebah kerana tekstur luarannya kelihatan seperti lubang-lubang di sarang. Ia terbentuk disebabkan reaksi kimia antara soda penaik dan bahan-bahan lain.