Pernahkah anda perasan yang mana, ada sesetengah kawasan air atau laut yang hadir dengan warna biru dan ada juga yang berwarna hijau?
Adakah benar terdapatnya perbezaan warna pada laut?
Jawapannya tidak. Air tidak berwarna biru, tetapi ia menampilkan warna berdasarkan bagaimana mata dan otak kita menafsirkan air sebagai biru.
Jadi mengapa air kelihatan berwarna? Ia adalah disebabkan cahaya.
Menurut NASA, air sebenarnya tidak berwarna dan secara umumnya ia adalah jernih. Faktor yang menyebabkan anda melihat air atau lautan berwarna biru adalah kerana penyerapan dan penyerakan (scattering) cahaya hasil daripada warna langit.

Air dikatakan menyerap semua cahaya matahari. Secara ringkasnya, ketika cahaya matahari menyentuh lautan, sebahagian cahaya dipantulkan kembali secara langsung tetapi sebahagian besarnya menembusi permukaan laut dan berinteraksi dengan molekul air.
Panjang gelombang merah, oren, kuning, dan hijau cahaya diserap sehingga cahaya yang tersisa yang kita lihat terdiri daripada warna biru dan ungu kerana ia mempunyai panjang gelombang yang lebih pendek.

Mengapa Ada Lautan Yang Kelihatan Lebih Biru?
Perbezaan ini dikatakan dipengaruhi oleh tahap kedalaman air.
Di dalam air yang sangat dalam, hampir semua sinar matahari diserap oleh air itu sendiri kerana kurangnya sedimen seperti pasir dan bahan organik seperti alga (fitoplankton) di permukaan atau kawasan air berkenaan. Oleh sebab itu, anda akan melihat warna biru yang tampak lebih gelap kawasan yang lebih dalam.
Sebaliknya di air cetek, anda akan melihat zarah terapung seperti alga, batu karang, pasir dan kelodak menyerap panjang gelombang cahaya yang berbeza daripada air. Hasilnya, warna akan kelihatan sama ada lebih hijau atau lebih keruh.

Berdasarkan kajian juga, semakin banyak fitoplankton iaitu klorofil yang menyerap cahaya merah dan biru dan memantulkan hijau, lautan akan kelihatan lebih hijau. Manakala, semakin sedikit fitoplankton di dalam air, ia akan menampakkan lautan semakin biru.
Bukan itu sahaja, fitoplankton ini juga memerlukan sumber nutrien dan makanan. Makanya, anda akan melihat ia bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Perubahannya akan kelihatan jelas dipermukaan air yang mana anda akan melihat warna yang cerah ini berubah di sesuatu tempat dan kedudukannya tidak akan sama untuk hari yang berikutnya.
Sumber: Ocean Services Crosstalk Science Nasa ThoughtCo