Lina Rosli Diterbitkan 23 June 2021

Tips Mengelakkan Nasi Cepat Basi Di Dalam Periuk Nasi

Beras mentah atau beras yang belum ditanak mengandungi spora iaitu sel yang mampu menghasilkan semula bakteria yang dikenali sebagai Bacillus cereus. Bacillus cereus adalah bakteria yang sering dijumpai di dalam tanah dan pelbagai jenis makanan, termasuk beras, kentang, pasta, sos, puding, sup dan pastri.


Kebiasaannya, spora ini dapat bertahan pada suhu mendidih yang diperlukan untuk memasak nasi. Sekiranya nasi disejukkan terlalu perlahan setelah dimasak atau dibiarkan pada suhu bilik terlalu lama, bakteria dapat berkembang dari spora sekaligus melepaskan toksin yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

Apa yang menariknya, toksin ini tidak dapat dihilangkan walaupun telah dipanaskan pada suhu yang tinggi.

Jadi, bagi anda yang ingin memastikan nasi anda tidak cepat basi, tahan lama dan tidak mengeluarkan toksin, Tajria hari ini ingin berkongsi tips yang boleh anda praktikkan sewaktu penyimpanan nasi.

Menyimpan nasi yang dimasak di dalam peti sejuk

Mengapa anda perlu menyimpan nasi di dalam peti sejuk?

Nasi yang dimasak akan menjadi sangat lembap yang mana boleh menjadi tempat pembiakan dan pertumbuhan bakteria jika dibiarkan pada suhu bilik selama lebih dari dua jam. Oleh itu, untuk selamat, sejukkan dan simpan lebihan nasi di dalam peti sejuk.


Meletakkan nasi di dalam bekas kedap udara

Pindahkan nasi anda yang di dalam periuk nasi ke dalam bekas kedap udara. Melaluinya, ia dapat mengurangkan risiko pengudaraan yang boleh menyebabkan nasi anda rosak.

Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk tidak menyimpan nasi tersebut lebih dari 1 hari sehingga dipanaskan semula. Bukan itu sahaja, anda juga tidak digalakkan untuk panaskan nasi lebih dari sekali.

Panaskan semula dengan sedikit air

Mengapa perlu memasukkan sedikit air sewaktu memanaskan nasi?

Oleh kerana ia telah disimpan didalam peti sejuk, makanya nasi anda akan menjadi sedikit kering dan keras. Makanya, dengan menambahkan sedikit air, ia akan mengekalkan tekstur nasi yang lembut selain menjadikan nasi lebih gebu.


Sentiasa bersihkan periuk nasi

Periuk nasi akan menjadi berbau apabila ada butiran beras yang tersisa di dalamnya. Untuk pengetahuan anda, biji-bijian beras itu akan tetap ada dan tidak hancur walaupun dibiarkan lama.

Jadinya, anda dinasihatkan untuk mencui setiap bahagian periuk nasi kerana jika tidak, bakteria akan bertindak pada sisa beras ini sekaligus menyebabkan periuk nasi berbau.

Malah lebih teruk lagi, bakteria tersebut juga akan merosakkan nasi anda yang lain. Sekiranya anda perasan nasi anda kerap basi selepas dimasak, ia mungkin disebabkan adanya bakteria di dalamnya. 

Kesimpulannya, penjagaan makanan adalah amat penting bagi memastikan keadaan makanan tersebut tidak membawa kemudaratan pada masa hadapan. Anda disarankan untuk menyimpan nasi yang dimasak dengan cara yang betul untuk memastikan nasi tersebut boleh tahan lebih lama.