Bagi anda yang menggemari makanan ala-ala drama Korea, pastikan anda jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi Emart24 di The Horizon, Bangsar South.
Ia merupakan rangkaian kedai yang pertama di Malaysia yang terletak di alamat Ground Floor, Wisma Touch ‘n Go Tower 6, Avenue 5, The Horizon, Bangsar South, Kuala Lumpur.

Untuk pengetahuan anda, Emart24 atau dikenali sebagai Shinsegae adalah salah satu kedai serbaneka yang popular di Korea yang mana ia berada di bawah pengurusan syarikat titan Korea Selatan iaitu Shinsegae Group.
Nampaknya selain kedai serbaneka CU, anda juga boleh mendapatkan lebih banyak produk Korea eksklusif yang dikeluarkan terus dari Korea Selatan di kedai Emart24.
Mereka akan menjual beberapa makanan ringan dan makanan Korea yang tidak pernah anda dapat dari kedai lain di Malaysia termasuk gimbap, bingsu dan juga makanan jalanan (street food). Malah anda juga boleh mencuba snek eksklusif seperti biskut, kekacang, snek mi, cip kentang dan banyak lagi.

Di samping itu, Emart24 turut hadir dengan Reserved Cafe yang mana ia menampilkan pelbagai pilihan kopi dan pastri yang pelbagai yang boleh anda cuba pada harga yang berpatutan.
Menerusi pembukaan ini, pelbagai promosi ditawarkan kepada semua pembeli bermula 22 Jun sehingga 5 Julai yang mana menampilkan diskaun sebanyak 24% untuk setiap pembelian.

Disebabkan pandemik dan sekatan perjalanan, Emart24 hadir dengan inisiatif yang mana anda boleh memesan terus di aplikasi foodpanda. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman rasmi Emart24 atau ikuti laman media sosial Instagram dan Facebook.
