Pernahkah anda mengalami keadaan yang mana kucing peliharaan tiba-tiba jatuh sakit akibat diserang virus?
Jika ya, adakah ia disebabkan Parvovirus?
Untuk pengetahuan anda, Parvovirus adalah virus yang berbahaya ke atas kucing di rumah anda. Hal ini kerana, ia mengambil masa yang sekejap untuk menyerang dan membunuh kucing anda.
Apa itu Parvovirus?
Secara amnya, kebanyakan kumpulan kucing seperti kucing, jaguar, cheetah, harimau dan singa sangat cenderung mengalami serangan virus ini.
Ia dikenali sebagai Parvovirus atau nama saintifiknya panleukopenia yang disebabkan oleh jangkitan dengan feline parvovirus (FPV). Serangan ini juga boleh berlaku akibat pengembangan jumlah sel darah putih yang rendah.
Ia adalah virus DNA yang kecil, namun mempunyai virologi dan kemampuan untuk mereplikasi atau menambah jumlah virus.
Parvovirus sangat mudah untuk berjangkit. Sebaik sahaja memasuki badan atau host, ia menjangkiti sel-sel dan berpecah dengan cepat.
Antara kawasan yang akan diserang termasuklahsel usus, sel sumsum tulang, sel janin, sel saraf dan mata. Ia juga virus yang sangat tahan lasak. Ia dapat hidup bahagia di persekitaran yang tercemar selama bertahun-tahun selain mampu bertahan dalam suhu yang panas dan sejuk.
Apa yang lebih memeranjatkan, ia bahkan tidak mudah mati walaupun dicuci menggunakan pembasmi kuman.
Bagaimana FPV Ini Boleh Muncul Pada Kucing Anda?
Salah satu faktor munculnya virus ini di rumah adalah disebabkan oleh penjagaan tempat kucing yang tidak bersih.
Parvovirus disebarkan melalui kontak langsung kotoran seperti najis kucing dengan permainan, tempat tidur atau tempat makan kucing.
Sebagai contoh, jika anda meletakkan tempat najis kucing berdekatan dengan pinggan makanan, ia boleh menyumbang kepada risiko jangkitan FPV.
Apa yang turut membimbangkan juga adalah virus boleh ditularkan oleh anjing.
Simptom Atau Gejala FPV
Kucing yang dijangkiti FPV akan terus mengeluarkan virus sekurang-kurangnya enam minggu setelah dijangkiti. Anda akan mendapati kucing anda akan mengeluarkan atau memuntahkan cecair hijau selepas makan.
Malah disebabkan ia menyerang dan memecahkan sel dalam badan kucing, ia boleh memberi kesan kepada sistem pencernaan kucing.
Antara gejala yang boleh anda lihat termasuk:
- demam ringan
- kemurungan
- muntah
- sakit perut dan cirit-birit
- usus yang terasa tegang
- dahaga dan dehidrasi
- anoreksia yang mana akan muntah setiap kali selepas makan
Setakat ini, tiada rawatan spesifik untuk FPV. Oleh itu, berbanding merawat, anda disarankan untuk mencegah penularan sebelum berlaku seperti sentiasa membersihkan kotak najis kucing setiap hari selepas mereka membuang air.
Jika berlaku serangan Parvovirus pada kucing anda, anda disarankan untuk menyediakan tempat kuarantin untuk kucing yang terlibat. Elakkan daripada bertemu dengan kucing atau haiwan lain. Harus diingatkan, peratus untuk kucing tersebut mati selepas dijangkiti adalah tinggi.
Jadi, walaupun anda telah hantar ke klinik haiwan, apa yang boleh pakar lakukan adalah dengan memberikan ubat anti-emetik yang mungkin berguna untuk membantu menghentikan muntah, dan memberi makan makanan kecil kepada kucing sebaik sahaja muntah berhenti.