Apabila hujan turun, air tersebut secara semula jadi akan menghasilkan kesan kotoran pada bahagian kereta anda. Ia adalah disebabkan kandungan mineral yang terkandung di dalam komposisi air.
Jika anda perasan, selepas hujan berhenti dan kereta anda kering, anda akan melihat tompok air yang kelihatan seperti debu. Namun, mengapa ia boleh berlaku sedemikian? Jawapannya, ia adalah kesan yang terbentuk akibat proses pengewapan di bahagian luar kereta.

Sewaktu berlakunya proses pengewapan, partikel air akan hilang di udara, namun ia akan meninggalkan zarah lain seperti kandungan mineral termasuk kalsium, magnesium, fluorida ataupun partikel yang lebih besar seperti debu jalan, asap dan banyak lagi di atas cat kenderaan anda.
Untuk pengetahuan anda, sekiranya air tersebut tidak segera di lap atau dibersihkan, ia boleh menimbulkan keadaan yang mana air hujan tersebut akan merosakkan cat kereta. Malah, semakin lama anda menyimpan atau membiarkan mineral tersebut di atas kereta anda, ia akan menjadikan semakin sukar untuk dibersihkan sekaligus boleh mengakibatkan mineral air melekat pada cat anda selamanya.
Mengapa Warna Cat Kereta Boleh Bertukar Menjadi Warna Keruh?
Masih mengenai kesan mineral dalam air lagi, pernahkan anda perasan warna cat kenderaan anda tidak lagi berkilau selepas beberapa tahun menggunakannya?
Lebih-lebih lagi untuk kenderaan berwarna putih, membiarkan kotoran di atas kereta untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan pengoksidaan.
Pengoksidaan ini muncul sebagai residu berkapur atau keruh di permukaan kereta anda. Ia boleh memberi cat kereta kelihatan berdebu dan tidak berkilau walaupun telah dibersihkan dengan sabun.

Bukan itu sahaja, sebilangan kerosakan pada cat juga adalah disebabkan sinar ultraviolet dari sinar matahari. yang memecah pigmen cat. Hasilnya, anda boleh melihat di seluruh permukaan atau bahagian kereta anda akan muncul tompok-tompok dan warna asal kereta anda juga lama kelamaan akan menjadi lebih kekuningan.
Untuk kesemua punca ini, kotoran dan kerosakkan cat kereta semestinya tidak mudah untuk ditanggalkan. Anda mungkin akan memerlukan cucian yang mendalam atau keadaan lebih teruk, ia memerlukan anda untuk menukar cat kereta kepada yang baharu.
Kepentingan Basuh Dan Kering Dua Kali Semasa Setiap Cucian
Kadangkala untuk setiap kali anda mencuci, bahan kimia dan sabun berisiko untuk tidak ditanggal dan dicuci dengan baik. Oleh itu, basuh dan kering dua kali adalah kaedah yang paling berkesan untuk menjaga cat kereta anda.
Caranya, anda boleh menyediakan dua baldi untuk setiap kali cucian. Baldi yang pertama, anda mungkin memerlukan air bersih dengan campuran sabun hangat. Sementara baldi kedua pula, anda boleh meletakkan air bilasan yang akan digunakan untuk cucian kali kedua.
Harus diingatkan untuk setiap kali cucian, pastikan anda menyelangkan aktiviti membasuh, membilas dan mengeringkan. Hal ini, adalah bagi memastikan perincian cucian dapat dilakukan dengan baik.