Kebiasaannya kanak-kanak sudah mampu berjalan pada umur sekitar setahun. Menurut MyHealth, 85% kanak-kanak mula berjalan tanpa bergantung kepada alat bantuan berjalan sekitar umur antara 10 hingga 14 bulan.
Bahkan, pada umur sekitar 14 bulan ini juga, mereka sudahpun belajar bagaimana memegang botol susu, berguling, merangkak, duduk dan seterusnya berjalan tanpa bantuan.

Tidak dinafikan setiap bayi mempunyai kelebihan dan perkembangan tumbesaran yang berbeza. Walau bagaimanapun, sebagai langkah persediaan, Tajria hari ini ingin berkongsi faktor-faktor yang mungkin berkait rapat dengan perkembangan berjalan bayi anda sekiranya mencecah umur 18 bulan mereka masih tidak lagi pandai berjalan
Perhatikan Perkembangan Lain Selain Berjalan
Kemampuan berjalan adalah suatu tahap perkembangan yang sangat penting bagi seseorang kanak-kanak. Namun, ada satu keadaan yang mana bayi yang dilahirkan sebelum waktunya, biasanya akan mula berjalan lebih lambat daripada kanak-kanak pada usia yang sama.
Oleh itu, untuk menentukan sama ada bayi anda tidak ada keupayaan untuk berjalan, pertimbangkan gambaran awal.

Sebagai contoh, walaupun bayi anda tidak dapat berjalan pada usia 14 bulan, anda mungkin menyedari bahawa bayi anda dapat melakukan kemahiran motor lain tanpa masalah, seperti berdiri sendiri, menarik perabot, dan melambung ke atas dan ke bawah.
Jika ya, ia adalah tanda-tanda bahawa kemahiran motorik bayi anda masih sedang berkembang.
Apakah punca yang menyebabkan kanak-kanak itu lewat berjalan?
Antara faktor yang mungkin menjadi punca seseorang kanak-kanak lewat berjalan termasuk:
Faktor keluarga atau keturunan
Sekiranya ibu atau bapa kanak-kanak tersebut sendiri mengalami masalah lewat berjalan semasa mereka kecil, anak mereka mungkin menghadapi masalah yang sama disebabkan faktor keturunan.
Walau bagaimanapun sekiranya ibu atau bapa mampu berjalan semasa berumur 2 tahun serta tiada masalah perubatan yang lain, kemungkinan besar tiada apa yang perlu dirisaukan tentang anak mereka.
Bayi pramatang
Secara umumnya bayi yang dilahirkan pramatang akan mengalami sedikit kelewatan perkembangan secara keseluruhan.
Jadi kelewatan sekitar 2 hingga 3 bulan mungkin tidak menjadi masalah, bergantung kepada kekuatan dan tumbesaran otot anak anda.
Cerebral palsy
Cerebral palsy (CP) adalah gangguan pergerakan kekal yang biasanya muncul pada awal umur kanak-kanak. Tanda dan gejala berbeza di antara orang dan dari masa ke masa. Selalunya, gejala termasuk koordinasi yang lemah, otot kaku, otot lemah, dan gegaran. Mungkin ada masalah dengan sensasi, penglihatan, pendengaran, menelan, dan bercakap.
Oleh itu, bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah cerebral palsy, anda boleh mengesannya pada peringkat awal, terutama sekiranya mereka mempunyai risiko-risiko berkaitan seperti lemas semasa kelahiran atau kelahiran pramatang.
Gejala utama yang biasanya hadir pada kanak-kanak cerebral palsy umumnya mengalami kekejangan otot serta kesukaran menggerakkan anggota badan dengan baik seperti sukar duduk bersila dan gemar duduk dengan kaki dilipat ke belakang (posisi ‘W’) atau mereka tidak merangkak secara normal tetapi lebih kepada mengheret kaki.
Lewat perkembangan secara umum
Tanda lewat perkembangan umum merangkumi aspek lain seperti bercakap, komunikasi, sosial, kemahiran tangan dan kognitif.
Terdapat banyak punca-punca lewat perkembangan. Antaranya ialah masalah sindrom seperti Down syndrome, kecederaan otak disebabkan lemas atau jangkitan kuman atau pelbagai penyakit kronik yang lain.
Masalah otot
Penyakit lain yang menjadi punca kanak-kanak lambat berjalan juga termasuk kehadiran masalah otot seperti muscular dystrophy, spinal muscular atrophy dan congenital myopathy.
Penyakit-penyakit ini menyebabkan banyak otot-otot badan menjadi lemah. Tanda-tanda awal mungkin boleh dikesan semasa peringkat bayi dan kanak-kanak lagi. Antaranya ialah bayi terasa lembik semasa digerakkan, kawalan kepala yang lemah dan kurang kekuatan pergerakan kaki dan tangan.

Bantuan atau kaedah untuk menolong bayi anda berjalan
Untuk membantu bayi mengambil langkah pertama, ibu bapa dan pengasuh perlu membantu mereka berjalan dengan memegang tangan semasa mereka berada dalam keadaan berdiri.
Arahkan bayi perlahan-lahan ke lantai. Latihan ini mengajar bayi bagaimana mengangkat kaki dan bergerak. Ia juga membantu bayi mengembangkan otot kaki yang lebih kuat dan meningkatkan keseimbangan.