Jika anda perasan, kebanyakan pusat membeli belah atau pasaraya biasanya hadir dengan satu pelan dalaman yang agak kompleks yang sehingga boleh menyebabkan anda berasa sesat atau tidak tahu jalan untuk ke tempat letak kenderaan.

Pelan ini dikenali sebagai Gruen Effect atau kesan gruen yang mana di saat pengunjung memasuki pusat membeli-belah, mereka akan dikelilingi oleh susun atur yang sengaja dibingungkan, kemudian membuatkan pengunjung lupa akan niat asal ketika berkunjung dan menjadikan mereka lebih mudah melakukan pembelian mendadak.


Sebelum bercerita tentang kesan Gruen, pernahkah anda mendengar bagaimana kasino dirancang untuk sengaja mengganggu pengunjung yang mana menyebabkan mereka kehilangan masa dan di mana sebenarnya mereka berada?

Konsep kedua-dua tempat ini seakan sama yang mana ia adalah strategi yang digunakan pemilik perniagaan untuk mengawal pengunjung yang tiba.

Siapakah Yang Memperkenalkan Kesan Gruen?

Secara rasminya, ia dikenali sebagai Gruen Transfer. Fenomena ini diperkenalkan oleh seorang arkitek Austria iaitu Victor Gruen.

Beliau memperkenalkan strategi ini dengan mengenal pasti bagaimana susun atur jalan dan produk yang direkanya dapat menyebabkan pengguna menghabiskan lebih banyak masa dan wang di tempat membeli-belah.

Menurut Gruen, reka bentuk yang baik seharusnya menyamai keuntungan yang baik. Oleh itu, untuk kebanyakan negara atau kawasan, semakin cantik paparan dan persekitarannya, semakin lama pengguna ingin tinggal di kawasan tersebut.

Sumber: Centers for the Urban Environment: Survival of the Cities by Victor Gruen

Sama juga seperti kedai, semakin besar dan kompleks rekaan sesebuah kedai, semakin banyak masa yang akan dibelanjakan oleh pembeli di kedai.

Untuk pengetahuan anda, pusat membeli-belah pertama yang menggunakan strategi kesan Gruen adalah Dayton Department store yang terletak di Southdale Mall dengan keluasan tapak sekitar 800,000 kaki persegi. Ia merupakan pusat membeli-belah tertutup pertama yang dibuka di Edina, Minnesota pada tahun 1956.

Idea Gruen Bermula Sewaktu Perjalanan Victor Gruen Ke Amerika Syarikat

Pada awal waktu Gruen mula menawarkan seni bina miliknya di seluruh negara, beliau banyak menghabiskan masa di dalam kereta.

Dalam perjalanannya ke seluruh Amerika Syarikat, Gruen melihat berapa banyak masa yang dihabiskan orang Amerika untuk bergerak dari satu pinggir bandar ke bandar yang lain.

Beliau mendapati, kebanyakan kawasan di pinggir bandar tidak mempunyai konsep ‘The Third Places’. Ia merupakan teori yang disebut ahli sosiologi Ray Oldenburg yang mana sekiranya rumah adalah tempat utama, dan tempat kerja adalah tempat kedua, maka tempat ketiga adalah apa-apa kawasan yang dipilih individu untuk membina komuniti, melepak dan merasa terhubung.


Walau bagaimanapun, selepas beberapa dekad selepas Gruen mula memperkenalkan strategi ini, ramai sejarawan seni bina menganggap Gruen adalah arkitek yang teruk. Hal ini kerana, bahagian luar pusat beli-belahnya membosankan secara seragam.

Walau bagaimanapun, untuk kesan Gruen, ia sebenarnya diperkenalkan bagi tujuan memberikan kehidupan dan suasana yang selesa untuk pengunjung ketika berada di pusat membeli-belah.

Dengan adanya air pancut, poster, penyaman udara yang diletakkan di seluruh kawasan dan juga alunan muzik yang mengasyikkan, sudah tentu orang ramai akan tidak mahu ketinggalan dalam menikmati tawaran yang diberikan oleh setiap kedai selain berlumba-lumba untuk berbelanja lebih sewaktu berada di dalamnya.

Sumber: choicehacking linkedin 99percentinvisible