Carian
Manfaat Selada – Tips Menanam Selada Sendiri Di Dalam Bekas Plastik
July 2, 2021 Lina Rosli

Selada atau lebih dikenali sebagai salad adalah antara sayuran yang popular dalam sajian harian. Ia sering dihidangan sebagai poke bowl atau turut digunakan sebagai ulam-ulaman bersama-sama dengan nasi dan rojak.

Daun selada adalah sumber vitamin yang baik kerana ia mengandungi tahap vitamin A dan vitamin K yang sangat tinggi. Untuk pengetahuan anda, secawan selada dapat memenuhi 82% keperluan vitamin A anda dan 60% keperluan vitamin K harian anda.


Selain dilengkapi dengan karbohidrat, protein, serat dan sedikit lemak, daun selada juga mengandungi pelbagai nutrien penting seperti zat besi, kalium, kalsium, folat, dan mineral serat yang dapat membantu memenuhi keperluan pengambilan nutrisi harian anda.

Bagaimana Boleh Anda Mendapatkan Daun Selada Hasil Tanaman Sendiri?

Seperti tanaman sayuran yang lain, daun selada sangat sesuai untuk penanaman di dalam bekas. Hal ini kerana, daun selada mempunyai sistem akar yang cetek dengan panjang akar adalah lebih kurang 30cm ke dalam tanah. Oleh sebab itu, ia sangat sesuai ditanam di bekas plastik.

Namun, harus diingatkan yang mana anda perlu menjauhkannya dari perosak dan haiwan yang boleh menyebabkan daunnya berlubang atau terkoyak.

Menanam Di Kawasan Suhu Rendah

Untuk menanamnya, anda boleh memindahkan daun selada ke bawah sinar matahari atau tempat teduh, jika diperlukan.

Selada paling sesuai ditanam di kawasan atau cuaca sejuk. Untuk tips tambahan, pastikan kawasan tanaman adalah sekitar 20 hingga 27 darjah Celsius.

Jadi, jika anda menanamnya dirumah, cari kawasan yang tidak terdedah dengan suhu tinggi seperti di sebelah peti sejuk atau kawasan ampaian baju yang mana ia sememangnya akan mempunyai suhu yang tinggi. 


Penyiraman Menggunakan Kaedah Semburan

Selain itu, anda juga perlu memastikan penjagaan air yang mencukupi untuk selada anda.

Walaupun selada memerlukan air dan penyiraman yang mencukupi, namun ia tidak sesuai untuk anda menyiram menggunakan paip atau bekas dengan air yang banyak.

Selada lebih sesuai menggunakan kaedah penyiraman semburan yang membolehkan mereka menyerap kelembapan juga melalui sistem udara.

Susunan Jarak Sayuran

Untuk menggunakan bekas yang bersesuaian, ia perlu menggunakan saiz minimum dengan kedalaman 6 inci hingga 12 inci.

Manakala susunan benih selada pula perlu disusun dan disemai rapat. Jaraknya ditanam antara 1.75 hingga 3 inci setiap barisan di dalam tanah berkelembapan sederhana.


Bercakap mengenai tanah pula, pemilihan tanah yang sesuai untuk selada adalah tanah jenis berpasir dan liat. Tanah jenis ini yang mempunyai sistem pengairan yang baik dengan pH sedikit berasid atau neutral dan kandungan organik yang tinggi.

Jadi, jika anda ingin mencuba menanam selada, anda boleh menggunakan bekas plastik dirumah anda dan letakkannya di kawasan yang dingin. Tuaian pertama boleh dilakukan selepas 30 hingga 70 hari selepas tanam. Selepas ia mula tumbuh, anda perlu potong bahagian daun yang anda mahukan dan biarkan bahagian lain untuk tumbuh lagi.

Komen