Tidak dinafikan, masalah sakit kepala sememangnya akan mengganggu produktiviti harian anda. Hal ini kerana, gangguan sakit pada bahagian kepala membuatkan anda berasa tidak selesa selain menjadikan anda tidak dapat berfikir dan melakukan tugasan dengan baik.
Secara umumnya, gangguan sakit kepala biasanya akan dialami secara yang berulang dan agak menyakitkan.
Terdapat beberapa jenis sakit kepala yang dialami oleh kebanyakan individu. Antaranya adalah migrain, sakit kepala jenis ketegangan, dan sakit kepala kelompok.
Jadi, Tajria hari ini ingin berkongsi beberapa jenis sakit kepala yang perlu anda ketahui.

Migrain
Migrain adalah salah satu sakit kepala yang melibatkan gangguan pada saraf. Semasa anda mengalami migrain, ia kebiasaannya akan terasa seakan berdenyut-denyut yang sederhana hingga yang amat sangat pada sebelah bahagian kepala.
Kira-kira satu pertiga gangguan ini akan melibatkan keseluruhan bahagian kepala. Semasa anda mengalaminya, anda mungkin akan mengalami gejala seperti masalah pada penglihatan, loya, muntah-muntah, pening, kepekaan melampau terhadap deria yang meliputi rasa, bunyi dan lain-lain.
Malahan, anda juga akan mengalami kebas yang melampau pada bahagian muka. Migrain biasanya boleh berlaku selama 4 hingga 72 jam.
Mengenai migrain lagi, ia selalunya berlaku pada individu yang mungkin mempunyai sejarah keluarga dan juga sering dialami oleh para wanita.
Sakit Kepala Akibat Tekanan
Sakit kepala yang berpunca daripada tekanan merupakan sakit kepala yang paling biasa.
Sama seakan migrain, anda akan mengalami kesakitan yang sederhana hingga yang amat sangat yang merangkumi keseluruhan bahagian kepala. Namun, anda juga akan turut berasa tegang pada bahagian dagu atau leher.
Sesetengah orang mengalami kesakitan seperti kepala dihimpit atau ditekan dengan begitu kuat. Sakit kepala akibat tekanan ini dikatakan berpunca daripada pelbagai sebab termasuklah otot yang tegang pada bahagian bahu, leher, kulit kepala dan dagu dan juga sering berpunca daripada tekanan, kemurungan dan keresahan.
Bukan itu sahaja, sakit kepala jenis tekanan juga boleh menjadi kronik yang mana anda boleh mengalaminya sehingga 15 hari atau lebih.
Sakit Kepala Kluster
Sakit kepala kluster merupakan sakit kepala yang berulang-ulang. Anda akan berasa sakit pada sebelah bahagian kepala.
Setakat ini, tiada punca yang kukuh yang boleh mencetuskan sakit kepala ini. Ia biasanya akan berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan kesakitan yang terasa seperti ledakan kepanasan pada sebelah bahagian kepala dan mungkin mempunyai simptom seperti mata merah dan hidung tersumbat pada belah yang sama dengan sakit kepala tersebut.
Sakit kepala kluster sering berlaku dalam kalangan kaum lelaki berbanding perempuan, perokok, dan mempunyai sejarah keluarga yang mengalami sakit tersebut.
Sakit Kepala Sinus
Jenis sakit kepala ini adalah bukan jenis sakit kepala yang biasa. Ia biasanya dialami akibuat jangkitan bakteria atau virus sinus, yang mengeluarkan hingus yang pekat, hilang deria bau, kesakitan atau tekanan pada muka serta demam. Sakit kepala ini akan hilang apabila jangkitan sinus sembuh atau jangkitan.
Simptom biasa yang akan dialami sewaktu sakit kepala Sinus termasuklah hidung tersumbat, hidung berair, tekanan ke atas muka dan dahi. Ia juga selalunya menjadi lebih teruk pada waktu pagi.
Sakit Kepala Akibat Ubat
Seperti namanya, sakit kepala ini berpunca daripada terlalu banyak pengambilan ubat-ubatan dan juga dikenali sebagai sakit kepala berulang.
Ia boleh tercetus akibat pengambilan ubat-ubatan dengan kerap sekurang-kurangnya 10 hari dalam sebulan selama tiga bulan atau lebih lama dan mungkin bergantung kepada ubat-ubat tertentu.
Sumber: WHO, Family Doctor Org