Lina Rosli Diterbitkan 6 July 2021

Kebaikan Pendedahan Aktiviti Berenang Kepada Anak Kecil

Berenang merupakan salah satu aktiviti yang paling digemari terutamanya di Malaysa yang bercuaca panas sepanjang tahun. Malaysia juga mempunyai lokasi perairan yang popular termasuklah pantai-pantai yang indah dan banyak kolam renang yang menarik.

Tahukah anda, aktiviti berenang adalah aktiviti yang sangat sesuai diperkenalkan sewaktu kecil?

Hal ini kerana, sifat air boleh membantu dalam pergerakan aktif, memberi sokongan postur, dan menambahbaik peredaran darah. Bukan itu sahaja, berenang juga menguatkan otot dan membantu dalam perkembangan kemahiran motor.


Apakah Manfaat Berenang Kepada Bayi Dan Kanak-Kanak?

Berikut adalah beberapa sebab pentingnya bagi kanak-kanak untuk belajar berenang pada usia muda demi kemahiran yang bermanfaat buat jangka masa panjang.

Bantu si kecil mengatasi rasa takut terhadap air sambil mendapatkan manfaat senaman badan

Ianya penting untuk kanak-kanak untuk belajar berenang pada usia yang muda supaya mereka tidak rasa takut terhadap air.

Keselesaan adalah komponen yang perlu diutamakan apabila berada dalam kolam air. Kanak-kanak akan diajar teknik pernafasan yang betul untuk menanamkan keyakinan waktu berenang.

Semakin awal kanak-kanak mula berenang, semakin pendek tempoh peralihan untuk mereka rasa selesa dalam air lalu semakin mudah untuk bertambah baik dalam aktiviti berenang. 


Manfaat untuk kesihatan dan meningkatkan koordinasi badan

Berenang sangat bermanfaat untuk kesihatan kardiovaskular. Kardiovaskular adalah sistem peredaran darah untuk membekalkan darah ke seluruh badan.

Melalui berenang, badan kanak-kanak akan dilatih untuk menggunakan oksigen dengan lebih berkesan yang seterusnya membantu menguatkan jantung, saluran darah, otak dan paru-paru.

Berenang juga sesuai untuk kanak-kanak yang menghidap asma. Ini kerana ketika mereka menahan nafas di dalam air, ia membantu mengembangkan kapasiti paru-paru dan meningkatkan kemampuan mereka untuk mengawal pernafasan.

Meningkatkan fungsi kognitif

Berenang akan membantu mempermudahkan komunikasi dan pencernaan maklumat dan dalam jangka masa panjang, ia membolehkan kanak-kanak meningkatkan kemahiran membaca dan juga perkembangan otak yang lain.

Ia adalah disebabkan pergerakan menggunakan tangan dan kaki secara berlawanan yang dilakukan sewaktu berenang. Melaluinya, ia akan membantu pertumbuhan otak dengan membina neuron terutama di corpus callosum selain dapat memindahkan maklumat yang kompleks antara dua bahagian otak.

Bukan itu sahaja, penyambungan otak juga penting untuk koordinasi tangan-mata yang baik. Otak bertanggungjawab untuk menukar isyarat untuk mengkoordinasikan mata dan tangan untuk memastikan mereka berada pada sasaran yang sama. 

Interaksi sosial mendorong perkembangan kesihatan mental kanak-kanak

Jalinan hubungan bersama rakan belajar dapat melahirkan interaksi sosial yang positif dalam persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan justeru membantu meningkatkan keyakinan diri si kecil.

Ia juga membolehkan mereka menjadi lebih selesa bertemu rakan baru sekaligus dapat membantu kanak-kanak menghilangkan kegelisahan dan perasaan negatif demi meningkatkan kesihatan emosi mereka. 

Bilakah Anak Anda Boleh Mula Belajar Berenang?

Waktu yang baik untuk mula mengajar berenang adalah pada umur sekitar 6 bulan. Ketika usia ini, anak anda sudah mula pandai melakukan refleks ketika berada di air seperti menutup mulut ketika berenang. 

Bercakap mengenai keselamatan ketika berenang, adalah penting untuk anda memastikan kolam renang yang dilawati mematuhi garis panduan air yang sebaiknya. 

Menurut pengasas sekolah renang bayi dan kanak-kanak Happy Fish Swim School, bayi mempunyai kulit dan badan yang lebih sensitif terhadap impak persekitaran. Oleh sebab itu, pusat dan kolam awam harus mempertimbangkan pemasangan sistem pemanasan dan sanitasi kolam yang berkualiti seperti sistem Waterco untuk menyesuaikan suhu dan tahap klorin kepada standard yang selamat dan bersih khas untuk si kecil.

Jadi, kebaikan di atas adalah beberapa manfaat yang boleh diberikan kepada anda. Malah melalui aktiviti berenang juga, ia boleh menjadi salah satu aktiviti keluarga untuk mengeratkan lagi hubungan bersama anak-anak dan juga penting untuk gaya hidup yang lebih sihat.