Pada pengalaman penulis, aktiviti memasak adalah salah satu aktiviti yang boleh memberi ketenangan selepas seharian bekerja. Namun, apabila selesai memasak, perkara paling sukar untuk dilakukan adalah membersihkan pinggan mangkuk yang kotor dan juga membersihkan kotoran akibat percikan minyak ketika menggoreng dan menumis.

Pernahkah selepas anda memasak, anda mendapati dinding kelihatan tompok minyak yang berlaku sewaktu menggunakan kuali?

Jika ya, tahukah anda jika kotoran tersebut dibiarkan, lama-kelamaan percikan minyak akan menumpuk dan meninggalkan sisa di semua permukaan dapur anda.


Oleh itu, anda perlu membersihkannya sebelum kotoran bertambah dan menjadi lebih teruk. Hari ini, Tajria akan berkongsi kepada anda langkah dan penyelesaian yang boleh dipraktikkan untuk menjadikan pembersihan semudah mengelap, mencuci, membilas, dan selesai.

Bahan-Bahan Yang Diperlukan

  • Sabun pencuci pinggan
  • Air bersih
  • Pembersih berasaskan asid sitrik
  • Cuka atau Ammonia atau serbuk penaik
  • Span basuh

Langkah Pembersihan Kotoran Minyak Pada Dinding

Pertama, anda perlu mencampurkan larutan pembersih bersama sabun pinggan ke dalam satu bekas air suam sekitar 300-500ml.

Kemudian, dengan menggunakan span, celupkannya ke dalam campuran larutan dan mengelapnya secara perlahan. Anda boleh menggerakkan span dalam gerakan bulat.

Untuk setiap kali beralih ke kotoran baru, pastikan anda terus mengelap bahagian yang bersabun dengan kering. Hal ini kerana, ia mengelakkan tompokan minyak kelihatan lebih besar pada dinding.

Jika kotoran tidak hilang, anda boleh tambahkan secawan cuka putih ke dalam campuran jika anda memerlukan pembersih yang lebih kuat. Disebabkan cuka merupakan salah satu bahan berasid, maka ia mempunyai keupayaan untuk melarutkan minyak.

Bagi anda yang tidak mempunyai cuka di rumah, anda boleh menggantikannya dengan ammonia ataupun serbuk penaik.

Tips tambahan, jika untuk memudahkan pembersihan dilakukan pada masa akan datang, anda boleh menyediakan campuran larutan ini di dalam penyembur dan boleh di simpan di bawah singki.


Berapa Kerap Perlu Anda Membersihkan Dinding Dapur?

Sama seperti pembersihan yang kerap untuk singki dan dapur gas, dinding yang kotor juga perlu dibersihkan dengan kerap iaitu sama ada setiap kali selepas masak jika percikan minyak terlalu banyak. Atau anda juga boleh membersihkannya sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.

Untuk kotoran yang lebih mendalam seperti sisa minyak yang terkumpul, anda perlu mengambil masa yang lebih sedikit bagi kerana ia memerlukan anda untuk menggunakan bahan pencuci yang lebih kuat.

Di harap selepas ini aktiviti di dapur anda akan bertambah selesa. Selamat mencuba!