Di Selangor terdapat beberapa bangunan dengan senibina yang unik dan menarik. Kebanyakan bangunan ini dibina dengan ilham dan inspirasi daripada warisan dan kepercayaan masyarakat tempatan.
Bagi anda yang ingin mengetahui lanjut, Tajria hari ini akan berkongsikan kepada anda 6 bangunan di Selangor yang hadir dengan persekitaran dan seni bina yang unik yang perlu anda ketahui.
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz terletak di Bandar Diraja Klang. Ia dahulunya dikenali sebagai Bangunan Sultan Suleiman Shah. Galeri ini wujud hasil dari idea Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
Lokasi asal adalah di Jalan Kota Raja, Syahbandaraya iaitu di Kampung Jawa yang bertempat di dalam kawasan istana. Galeri Diraja dahulunya dikenali sebagai Muzium Kenangan.
Dari segi seni yang ditampilkan, ia memperlihatkan elemen sejarah dan warisan Kesultanan Selangor yang berasal dari tahun 1766. Galeri ini dibina megah pada tahun 1909 dan mempunyai reka bentuk kolonial yang dibina oleh arkitek Inggeris, Arthur B. Hubback.
Istana Bandar, Banting
Nama lain bagi istana ini adalah Istana Alaedin. Ia telah dibina pada tahun 1899 yang didirikan berdekatan dengan Masjid Bandar, terletak kira-kira 15 kilometer dari Pekan Banting.
Ia merupakan sebuah monumen sejarah bagi Negeri Selangor dengan sktrukturnya yang masih gah berdiri sehingga hari ini. Hampir keseluruhan struktur istana ini diperbuat daripada batu bata dan motar kapur. Selain itu, tangga dan pintunya adalah diperbuat daripada kayu cengal.
Menariknya lagi, istana ini menampilkan senibina Islam dari India dan Timur Tengah sama seperti Masjid Bandar.
Kuil Sri Shakti Devasthanam, Kuala Selangor
Kuil Sri Shakti Devasthanam merupakan satu-satunya kuil di dunia yang memanifestasikan seluruh 51 Shakti. Dalam ruangan tersembunyi, terdapat 96 tiang berukir yang menggambarkan 96 prinsip agama Hindu.
Kuil ini terletak lebih kurang 9.5km dari Daerah Kuala Selangor, dan dibina sesuai mengikut kitab suci seperti Veda, Agamas dan Sirpa (senibina) Sastras. Senibina ini juga menggabungkan semua struktur Kuil Amman yang sesuai menurut Agama Hindu.
Selain itu, pintu utama kuil ini terpahat granit setinggi 18 kaki dengan berat hingga 4 tan, yang mana ianya diukir oleh seorang tukang ukir yang mahir dari Mahabalipuram di Tamil Nadu, India.
Kuil Wat Chetawan, Petaling Jaya
Wat Chetawan merupakan sebuah Kuil Buddha yang terkenal di Negeri Selangor dan terletak di Jalan Gasing, Petaling Jaya. Ia dirasmikan oleh Raja Bhumibol Adulyadej pada tahun 1957.
Struktur senibinanya mempunyai unsur-unsur pengaruh Kerajaan Siam yang mana ia dihiasi dengan jubin kaca berwarna dan mempunyai atap bertingkat yang dikelilingi chor fahs melambangkan senibina kuil Buddha yang menakjubkan.
Movenpick Hotel and Convention Centre, KLIA
Mövenpick Hotel & Convention Centre, KLIA merupakan salah sebuah hotel terkemuka di Malaysia. Hotel ini hadir dengan struktur senibina yang luar biasa yang mana ia dibina khas bagi mencerminkan keunikan budaya Malaysia.
Untuk pengetahuan anda, hotel 5 bintang ini terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malah hanya mengambil masa 10 minit untuk ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Mitsui Outlet Park.
Penerapan elemen senibina Islam pada bahagian luar hotel ini menjadikan ia salah satu hotel yang mengetengahkan seni geometri Islam dan tulisan Kufi. Selain itu, terdapat sebuah taman yang mempunyai keluasan 7.2 hektar di sini yang menjanjikan persekitaran yang menghijau dan menenangkan.
Semoga, perkongsian yang disenaraikan oleh Tourism Selangor ini sedikit sebanyak memberi pengetahuan kepada anada tentang seni bina bangunan yang menarik di Selangor.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.