Lina Rosli Diterbitkan 12 July 2021

Tahukah Anda Boh Adalah Ladang Teh Pertama Di Malaysia?

Pengambilan minuman panas seperti kopi dan teh sememangnya membantu dalam memberikan rangsangan tenaga yang menyegarkan untuk memulakan hari anda.

Bagi anda yang tidak menggemari kopi, pastinya teh akan menjadi pilihan yang paling sesuai untuk menggantikannya.

Jika di lihat di Malaysia, sudah tentu budaya penyediaan teh seperti di Jepun atau negara Asia yang tidak begitu popular. Hal ini kerana, hidangan teh di Malaysia dinikmati secara lebih santai oleh kebanyakan individu seperti hidangan teh tarik, teh o’ ais bungkus, teh panas dan banyak lagi. 


Walau bagaimanapun, tabiat dan amalan pengambilan minuman teh mula menampilkan revolusi sejak peningkatan penawaran kafe di seluruh negara. Teh kini mulai berkongsi sorotan yang sama dengan kopi pada menu.

Kebanyakan kafe sudah mula menawarkan lebih banyak varian teh dan juga mulai membuat persembahan istimewa dengannya seperti minuman gabungan dan pencuci mulut.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ia meramalkan kadar pertumbuhan tahunan teh meningkat 2% pada tahun 2020 dan penggunaan teh dijangka terus tinggi dalam beberapa tahun akan datang.

Asal Usul Penanaman Teh Di Malaysia

Menurut World Tea News, penemuan daun teh telah berlaku sejak 2700 SM secara tidak sengaja. Ia berlaku apabila beberapa daun kering dari semak camellia jatuh ke dalam air mendidih yang sedang disiapkan untuk Maharaja China Shen Nong ketika dia sedang berehat pada hari musim panas.

Menjelang tahun sekita 300M, budaya minum teh sudah menjadi kebiasaan sehingga diperluaskan ke India, Sri Lanka dan Vietnam. Hasilnya, mereka adalah antara negara pengeluar teh terkemuka selain China.

Sementara di Malaysia, budaya minum teh mula dipopularkan sejak zaman penjajahan Inggeris. Sehingga kini, ia masih memainkan peranan besar dalam budaya Inggeris. Oleh yang demikian, pada tahun 1929, seorang peniaga Inggeris mula menanam daun teh di Cameron Highlands yang kini telah menjadi wilayah teh terpenting di Malaysia yang menghasilkan teh jenama BOH dan Cameron Valley.


Boh Sebagai Pengeluar Utama Teh Di Malaysia

BOH adalah pengeluar teh terbesar di Malaysia. Rata-rata, ladang mereka menuai lebih daripada 4.5 juta kilogram teh setahun iaitu kira-kira 70 peratus daripada pengeluaran teh Malaysia.

Ia mula diperkenalkan oleh Archie yang mana beliau memutuskan untuk mula menanam teh di Cameron Highlands bersama-sama dengan A.B. Milne, penanam veteran dari Sri Lanka.

Semenjak dari itu, kawasan hutan berubah menjadi kebun teh dataran tinggi pertama di negara ini, yang sekarang dikenal sebagai BOH Plantations. Nama BOH berasal dari “Bohea”, yang merupakan bukit-bukit di Wuyi Hills. Ia adalah tempat teh pertama ditemui oleh Kaisar Shennong. Bohea juga merupakan nama kelas teh premium dalam perdagangan teh awal China. Bukan itu sahaja, Boh juga bermaksud kebahagiaan berharga dalam bahasa mandarin.


Ladang Teh Sabah Mula Diperkenalkan

Selain di Pahang, terdapat satu lagi kawasan penanaman teh utama di Malaysia iaitu di Ranau Sabah. Ia menampilkan ladang yang terbentang luas serta dikelilingi oleh hutan hujan semula jadi. Dikenali sebagai Ladang Teh Sabah, ia mula diwartakan pada tahun 1976 oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Kemudian tahun 1978, ladang teh ini telah diperbadankan kepada Syarikat Sabah Tea Sdn Bhd dan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1984.

Perbezaan Konsumsi Teh Di Malaysia

Teh cenderung menarik minat segmen kecil masyarakat, terutama pengguna Cina dan Malaysia yang tinggal di pusat bandar. Sumber perdagangan menyatakan bahawa pengguna Melayu lebih suka teh yang kuat yang mana mereka lebih menggemari jebis teh seperti teh hitam.

Sementara pengguna Cina pula cenderung lebih suka akan teh Cina yang dikatakan lebih ringan. Antara jenis teh Cina termasuklah teh oolong dan teh hijau.


Menurut Euromonitor International London, ia mengatakan bahawa peningkatan kesedaran kesihatan telah mendorong minat pengguna yang kini sudah mula beralih kepada pengambilan variasi teh termasuk teh buah. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 8% permintaan.

Walaupun Malaysia hanya menghasilkan 0.45 peratus daripada jumlah pengeluaran teh dunia, pada tahun 2011, Organisasi Makanan dan Pertanian PBB meletakkan Malaysia sebagai pengeluar teh ke-18 terbesar di Asia.

Akhir sekali, teh dilihat sebagai alternatif yang lebih sihat dan berpatutan kerana kaya dengan antioksidan, menurunkan risiko penyakit jantung, dan meningkatkan kesihatan otak anda secara keseluruhan. Maka tidak hairanlah mengapa konsumsi teh masih lagi kekal relevan dan menjadi pilihan kebanyakn individu pada masa kini.

Sumber: worldteanews boh tea utusan