Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Carsome pada tahun 2020, ia menunjukkan jualan kereta Perodua pada tahun 2019 berada ditangga teratas dengan pegangan pasaran 29% dan diikuti oleh Proton 19%. Sementara di tangga ke tiga adalah Toyota dengan pegangan pasaran sebanyak 17% dan Honda pula 16%.
Nampaknya, individu di Malaysia sememangnya lebih memilih untuk memiliki kenderaan buatan tempatan yang mana data ini disokong dengan peratusan pembelian kedua jenama Proton dan Perodua berada di kedudukan teratas iaitu sebanyak 48%.
Ia mungkin disebabkan oleh faktor seperti penawaran saiznya yang kompak dan harganya yang rendah yang kini menjadikannya salah satu sebab mengapa sesetengah individu memilih kedua jenama ini.
Walau bagaimanapun, jualan model kereta Jepun tidak ketinggalan begitu jauh. UMW Toyota Motor mencatatkan penjualan bulanan tertinggi pada Disember 2020 dengan 9,246 unit terjual. Antara 3 model Toyota terlaris di Malaysia adalah Toyota Vios, Toyota Yaris, dan Toyota Hilux.

Bagaimana Toyota Diperkenalkan Di Malaysia?
Kereta pertama Toyota mula bertapak di Malaysia pada Ogos 1956 menerusi model FJ25L Land Cruiser yang diimport oleh Asia Motor.
Sebelum berada di bawah payung UMW Toyota Motor, jenama kereta Jepun ini telahpun menandatangani perjanjian pengedar dengan pelbagai rakan Malaysia termasuk Kah Motor pada September 1960, Borneo Motors pada September 1967, Sarin Motor pada Januari 1979 dan Emastorin Motor pada September 1979.
UMW Toyota Motor mula menjadi pengedar rasmi sepenuhnya bermula tahun 1982. Ia adalah usaha sama United Motor Works (UMW) yang berpangkalan di Malaysia dan Toyota Motor Corporation dan Toyota Tsusho Corporation of Japan.

Sebelum tahun 1968, model Toyota pasar Malaysia hanya diimport sebagai unit lengkap (CBU). Namun, apabila kerajaan Malaysia mula menekankan perindustrian automotif pada tahun sekitar 1960-an, ia sekaligus telah mendorong pemasangan kendaraan lokal dan pembuatan komponen automotif di Malaysia.
Hasilnya, ia akan menjadikan harga kereta import lebih murah kerana kereta yang dipasang secara tempatan dengan komponen buatan Malaysia akan diberikan pengurangan duti import, menjadikannya lebih murah dan lebih kompetitif.
Detik Toyota Mula Mendapat Tempat Di Hati Pembeli Malaysia
Toyota mengungguli takhta industri automotif dengan menjadi syarikat kereta lencana asing terlaris di pasaran Malaysia yang mana gelaran ini dipegang UMWT selama lebih dari 20 tahun iaitu sekitar tahun 1980 sehingga 2014.
Selepas membawa masuk kereta pertama mereka, Toyota sekali lagi menawarkan model terbaru dari mereka iaitu Toyota Corolla (KE10) dan Toyota Corona (T40) pada Februari 1968 di kilang Champion Motors.
Toyota Corolla (KE10) adalah kereta pasang sendiri pertama Toyota yang mana harga jualannya mencecah RM6000. Pada waktu itu, harga tersebut adalah lebih mahal daripada model kereta MINI iaitu Austin Mini Coopers.

Kemasukan UMW Toyota Motor untuk pasaran Malaysia sememangnya menjadi pesaing yang hebat kepada jenama kereta tempatan bermula pada pertengahan tahun 1980.
Dengan pelbagai krisis yang berlaku termasuk lonjakan harga bahan bakar, pilihan pengguna sedikit sebanyak berubah kepada kereta yang lebih cekap tenaga, jimat bahan bakar dan kos efisien.
Jadinya, UMW Toyota Motors dan banyak pesaing lain mula melakukan perubahan dengan memperluaskan portfolio kereta kecil dan mempelbagaikan pengeluaran kenderaan bermotor.
Era jenama kereta Jepun mula meningkat apabila Toyota mula memperlihatkan kenderaan berkualiti tinggi dengan harga terbaik yang tidak dapat didapati pada kereta import dari Barat. Aspek kualiti produk Toyota telah merevolusikan kereta pada masa lalu dan hampir semua syarikat automobil harus mencuba dan meningkatkan kualiti produk mereka.

Bermula dari kereta dua pintu, bergerak ke penawaran Van dan seterusnya mengembangkan variasi model FWD, D-Segment dan banyak lagi telah menjadikan Toyota antara jenama yang giat bereksperimentasi dengan pasaran automotif. Ia jelas menunjukkan yang mana Toyota berusaha untuk berkembang dengan kadar yang stabil.
Pada analisa penulis sendiri, pada tahun sekitar 2003 hingga 2008, Toyota telah mengukuhkan jenama mereka dengan pengenalan model Avanza iaitu MPV premier kelas bawah, dan Innova bagi MPV kelas atas. Kedua-dua model ini menjadi pencetus kepada pemilikan kereta yang lebih besar yang memfokuskan kepada keluarga. Ia telah mencapai jualan melebihi 100,000 unit pada tempoh pengeluaran yang sememangnya mencetuskan fenomena di Malaysia.

Selepas itu, UMW Toyota Motors bangunkan lagi sebuah kilang pembuatan lain di Bukit Raja, Klang. Ia melancarkan kereta pertamanya pada 10 Januari 2019 yang merupakan Toyota Vios. Kilang ini beroperasi di samping kilang yang ada di Shah Alam dan semasa tempoh awal pembukaannya, Toyota menghasilkan output tahunan sebanyak 50,000 kenderaan. Selain Vios, Toyota Yaris juga dihasilkan di kilang Bukit Raja dan meningkatkan jumlah kandungan tempatan 70%.
Sumber: Carsome EVO Malaysia Scholar Havard