Buah Nanas mempunyai kandungan Vitamin C yang tinggi yang amat diperlukan untuk kesihatan. Antara kelebihannya termasuk membantu menyembuhkan luka di samping mampu meningkatkan kadar penyerapan zat besi ke dalam saluran darah.
Nanas juga mengandungi Vitamin B1 dan B3. Untuk pengetahuan anda Vitamin B1 berfungsi dalam membantu proses penghadaman dan melicinkan proses pencernaan dalam usus sementara Vitamin B3 pula hadir dengan kandungan kabohidrat yang dapat mengawal sistem penghadaman agar sentiasa beroperasi dengan baik.

Bagaimana Nanas Mula Diperkenalkan Di Malaysia?
Nanas atau nama saintifiknya adalah Ananas comosus merupakan sejenis tanaman tropika yang dipercayai berasal dari Bahagian Timur Amerika Selatan. la diperkenalkan di Tanah Melayu pada abad ke 16 oleh orang-orang Portugis.
Sebelum pembangunan komoditi lain, industri nanas merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara. Pada tahun 1921, nanas mula ditanam di Singapura, Johor dan Selangor sebagai tanaman kontan. Tanaman nanas terus berkembang dan diusahakan secara perladangan di kawasan tanah gambut terutamanya di Johor.
Malaysia merupakan salah satu negara pengeluar utama nanas dunia selain daripada Thailand, Filipina, Indonesia, Brazil, Taiwan, India dan banyak lagi.

Di Malaysia, industri tanaman nanas adalah di bawah kelolaan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang bertanggungjawab memantau pembangunan dan pengeluaran nanas untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Terdapat 25 jenis nanas ditanam di Malaysia. Namun, tiga jenis nanas yang biasa ditanam adalah Nanas Mauritius, Sarawak dan Gendol.
Menurut laporan LPNM, eksport nanas negara untuk tahun 2020 mencapai nilai sehingga RM320 juta setahun yang mana telah meningkat 2 kali ganda berbandi tahun 2019. Bukan itu sahaja pengeluaran nanas adalah sebanyak 434,811 metrik tan yang meliputi ladang seluas 13,433 hektar.
Kawasan penanaman utama nanas adalah negeri Johor terutama di daerah Pontian, Kluang, Muar secara komersial mahupun dalam kalangan pekebun kecil.
Penanaman Nanas Di Malaysia
Tahukah anda bahawa nanas mengambil masa sekitar 2 tahun sebelum boleh mula dituai dan dipasarkan kepada umum? Hal ini kerana, ia merangkumi proses penebangan, pembersihan, pembenihan dan pembungaan yang mana untuk setiap proses ini mempunyai tempoh yang panjang sekaligus memberi kesan kepada penuaian hasil akhir nanas.
Pokok nanas akan mati selepas kitaran ini tetapi mereka menghasilkan sucker atau ratoon di sekitar tanaman utama semasa berbunga dan berbuah. Selepas penghasilan ratoon ini, ia akan mengambil masa berumur 5 hingga 6 bulan untuk membesar. Setelah itu, barulah ia mula berbunga selepas 12 hingga 18 bulan ditanam
Beberapa faktor alam sekitar seperti suhu, jangka masa siang hari dan kehadiran sinaran matahari mampu merangsang pengaruhan bunga semula jadi.

Pada umumnya buah nanas akan boleh mula dituai apabila buah-buah tersebut masak dengan memperlihatkan ciri-ciri kemasakan terutama warna kulitnya. Sewaktu proses memetik, pengeluar juga akan memetik mengikut Indeks kematangan iaitu satu petunjuk yang merujuk kepada perubahan warna kulit yang turut sama merubah ciri dalaman isi buah dan paras kandungan gula asid.
Selepas dituai, buah yang dikutip akan dipotong tangkai menggunakan pisau yang tajam dan dimasukkan ke dalam guni atau bakul buluh dan dihantar ke pusat pengumpulan untuk penggredan.
Nanas juga perlu diedarkan segera selepas dikutip kerana tempoh hayat penyimpanan nanas adalah 4 hingga 5 hari dalam suhu bilik sekitar 25 hingga 35 darjah Celsius. Untuk buah yang dieksport jauh , ia perlu disimpan dalam suhu kurang dari 6 darjah Celsius.
Sumber: Malaysian Pineapple Industry Board Live Science The Spruce Eats