Tabiat membeli-belah di platform atas-talian sejak akhir-akhir ini kian meningkat dalam kalangan masyarakat tempatan.

Tidak hanya untuk barangan keperluan, makanan dan juga barang elektronik, pembelian untuk barang perhiasan seperti cincin, rantai atau gelang tangan juga sudah mula ditawarkan dengan lebih meluas.

Nampaknya, bagi anda yang mungkin ingin membeli barangan perhiasan untuk majlis penting mahupun untuk dihadiahkan kepada orang tersayang akan lebih mudah serta memberi penjimatan dari segi kos dan masa.


Walau bagaimanapun, membeli-belah secara atas-talian juga boleh menjadi satu pengalaman yang menakutkan apabila membeli barangan pada harga yang tinggi, tetapi kualiti dan rekaannya tidak seperti apa yang dipaparkan pada gambar.

Oleh itu, untuk memastikan pengalaman yang lancar sewaktu membeli, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda beberapa tips yang boleh anda ikuti sewaktu memberli barangan perhiasan iaitu cincin atau gelang tangan di platform atas-talian.

Tetapkan Bajet Untuk Perbelanjaan Anda

Sama ada anda membeli-belah secara atas-talian atau di kedai, langkah pertama yang paling penting adalah menetapkan anggaran atau bajet yang anda asingkan untuk membeli cincin sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk majlis pertunangan dan penikahan.

Kemudian, anda perlu membuat sedikit analisan dan beberapa kajian mengenai anggaran harga di pasaran untuk cincin atau gelang tangan yang anda inginkan.

Sebagai contoh, untuk cincin emas belah rotan biasanya hadir dengan harga sekitar RM320 hingga RM400. Atau jika ditambah dengan batu permata, ia boleh mencapai sehingga RM800 dan lebih.

Jadi, jika anda sudah mengetahui anggaran harga cincin, anda boleh membuat perbandingan di beberapa kedai dengan mengambil kira saiz cincin, berat dan binaan cincin dan rekaan yang dibawakan.

Ketahui Ukuran Jari Atau Tangan Anda

Perhatikan potongan berlian kerana cincin boleh kelihatan sangat berbeza di setiap tangan. Selain itu, anda juga perlu pelajari ukuran cincin di jari anda sebelum berbelanja.

Untuk mengukur jari atau pergelangan tangan anda:

  1. Balut sekitar pangkal jari ataupun pergelangan tangan anda dengan tali atau kertas.
  2. Tandakan titik di mana hujungnya bertemu dengan pen.
  3. Ukur tali atau kertas dengan pembaris dalam unit milimeter.
  4. Pilih ukuran terdekat pada carta ukuran cincin untuk mengetahui ukuran cincin anda.
Sumber: Southern Living
Sumber: Spanish Silver Jewelery

Pilih Jenis Dan Ketulenan Logam

Jenis dan keaslian binaan cincin dan gelang akan mempengaruhi kosnya. Anda biasanya tidak akan perasan perkara ini kerana ia kelihatan hampir sama ketika anda melayarinya di kedai atas-talian.

Emas tulen adalah logam yang sangat lembut dan jika anda seorang yang lasak, ia mudah erdedah kepada calar dan torehan. Jadi, untuk menjadikan ia lebih tahan lama, emas sering digabungkan dengan logam padu seperti zink, nikel dan tembaga.


Nisbah emas tulen ke logam biasanya akan disebut sebagai 18K, 20K, 24 dan lain-lain. Jadinya, semakin tinggi bilangan karat, emasnya lebih asli sekaligus menjadikan harganya semakin mahal.

Periksa Polisi Pemulangan Untuk Pembelian

Sebelum anda mengklik pembelian, anda juga perlu memeriksa polisi pengembalian barangan yang tidak menepati kriteria di platform yang anda beli.

Sebilangan cincin boleh mengambil masa beberapa minggu untuk dihantar, sekiranya anda perlu menukarnya. Oleh itu, pastikan anda ketahui prosedur penghantaran dan pengembalian sebelum mula membeli.