Penyimpanan ubat yang betul adalah sangat penting untuk memastikan keberkesanan dan juga keselamatan penggunaannya. Setiap ubat mesti disimpan di tempat yang sejuk dan kering selain perlu diletakkan jauh dari cahaya matahari dan kelembapan.
Beberapa ubat memerlukan keadaan penyimpanan khas seperti di dalam peti sejuk, dan bahkan penyejuk beku. Kaedah penyimpanan yang salah boleh mengakibatkan ubat-ubatan tersebut menjadi toksik dan tidak lagi boleh digunakan.
Untuk pengetahuan anda, setiap ubat mempunyai cara penyimpanan yang disarankan oleh pengilang setelah menguji kestabilannya. Oleh sebab itu, ada ubat yang hanya perlu disimpan pada suhu bilik dan ada juga yang perlu disimpan dalam peti sejuk.
Panduan mengetahui cara penyimpanan ubat yang betul
Berikut adalah beberapa perkaran yang perlu anda ketahui dan ikuti mengikut langkah penjagaan yang betul:
- Periksa sisi kota atau bungkusan ubat. Biasanya pengeluar atau pengilang akan meletakkan maklumat dan kaedah penyimpanan yang bersesuaian untuk setiap jenis ubat-ubatan.
- Jika tiada kaedah penyimpanan yang tertera pada sisi kotak, anda boleh bertanyakan kepada ahli farmasi mengenai cara penyimpanan yang betul.
Ubat Yang Perlu Dsimpan Di Dalam Peti Sejuk
Jika arahan pada kotak atau plastik pembungkusan ubat menyatakan:
- Simpan pada suhu 2 hingga 8 darjah Celsius
- Keep Refrigerated
- Store at 2 to 8 degree Celsius
Ia bermaksud anda perlu menyimpan ubat tersebut dalam peti sejuk. Kebanyakan peti sejuk domestik tidak menunjukkan suhu semasa peti sejuk. Jadi ia akan sukar untuk mengatur suhu yang bersesuaian untuk ubat.
Oleh itu, langkah-langkah berikut disarankan untuk penyimpanan ubat dalam peti sejuk di rumah:
- Simpan ubat di rak tengah peti sejuk serta jarakkan dari barang-barang lain dalam peti sejuk.
- Jauhkan ubat dari bahagian sejuk beku dan lubang udara untuk mengelak pembentukan kristal ais yang merosakkan ubat.
- Tidak menyimpan ubat di bahagian pintu peti sejuk kerana ubat akan terdedah kepada suhu yang tidak sekata setiap kali pintu peti sejuk dibuka.
- Pastikan ubat sukar dicapai oleh kanak-kanak.
Bukan itu sahaja, ubat-ubatan juga biasanya mempunyai tarikh luput yang lebih pendek. Jadi, pastikan anda sentiasa menyemak tarikh luput ubat sebelum mengambilnya.
Contoh ubat yang perlu disimpan di dalam peti sejuk termasuklah ubat titis mata, telinga dan mulut, ubat insulin yang belum dibuka dan sesetengah ubat suntikan.
Menurut KidsHealth Organization, anda tidak perlu menyimpan sirap ubat batuk di dalam peti sejuk. Namun, ia masih lagi perlu diletakkan di kawasan yang tidak panas iaitu di suhu bilik sekitar 18 hingga 25 darjah Celsius. Hal ini kerana, menyimpan ubat batuk di dalam peti sejuk boleh menyebabkan sirap menjadi likat dan pekat.
Mengapa Perlu Menyimpan Ubat Dengan Betul?
Bagi pesakit penyakit kronik seperti diabetes atau penyakit jantung, ubat yang telah rosak boleh mengakibatkan akibat yang serius sehingga boleh merisikokan kesihatan dan nyawa.
Oleh itu, sekiranya anda merasakan ubat anda terdedah kepada suhu yang lebih tinggi daripada yang disyorkan, anda disarankan untuk periksa keadaan ubat dengan ahli farmasi anda.
Sumber: MyHealth