Selepas pengenalan Baskbear Coffee pada tahun lalu, Bryan Loo iaitu pengasas kepada syarikat minuman Tealive nampaknya menambah satu lagi jenama minuman yang dikendali menerusi konsep restoran maya iaitu Soul Brew.
Apa yang menariknya, Soul Brew ini hanya ditawarkan secara eksklusif di platform penghantaran atas-talian FoodPanda sahaja.
Di bawah payung yang sama dengan Tealive oleh Loob Holdings
Menerusi pemerhatian penulis, Soul Brew dilihat menawarkan variasi minuman yang tidak hanya tertumpu kepada penawaran kopi sahaja.
Ia turut memperlihatkan variasi jenis ais kisar atau frappe yang merangkumi rasa buah-buahan, koko, matcha dan juga kopi. Malah, ia turut menawarkan pilihan menu minuman boba yang tersendiri iaitu brown sugar boba, caramel boba, hazelnut boba dan banyak lagi.
Nampaknya, walaupun Soul Brew berada di bawah payung yang sama dengan Baskbear Coffee dan juga Tealive, ia nampaknya akan menjadi pesaing yang sengit dalam industri makanan dan minuman.
Dari segi harga juga, ia tidaklah begitu mahal yang mana untuk kebanyakan minuman yang ditawarkan hanya dijual pada harga bermula RM10 secawan.
Setakat ini, Soul Brew sudah boleh mula dipesan atau didapati di kawasan berdekatan anda, tetapi hanya boleh dipesan melalui aplikasi FoodPanda sahaja. Disebabkan ia merupakan restoran maya, makanya ia dilihat melakukan operasinya menggunakan dapur fizikal rangkaian Tealive terpilih di seluruh Malaysia.
Menurut Bryan Loo lagi, platform digital telah menjadi satu alternatif dan langkah penyelesaian untuk memastikan kelangsungan operasi syarikatnya lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik ini.
Selain siri jenama maya Soul Brew ini, pihak Loob Holdings menawarkan beberapa jenama restoran maya yang lain iaitu Just Pasta, Tako Hangat, Culture By Tealive dan juga Baskbear Coffee.