Pernahkah anda terfikir, apakah yang terjadi pada beg penghantar makanan dan barangan GrabFood yang lama selepas tidak lagi digunakan?
Untuk pengetahuan anda, selepas setiap sembilan bulan melakukan penghantaran, rakan penghantar GrabFood atau rider GrabFood akan diminta untuk mengembalikan beg terpakai mereka untuk penggantian baru.
Secara purata, sekitar 100 beg penghantaran dikembalikan kepada Grab di bawah program pertukaran beg terpakai untuk setiap bulan.
Grab sebelum ini iaitu pada sekitar Disember 2020 yang lepas telahpun hadir dengan satu program inovasi untuk sosial. Melalui inisiatif ini, Grab akan mengitar semula beg penghantaran rakan GrabFood bagi memanfaatkan penggunaan beg sedia ada menjadi beg galas dan juga beg alat tulis yang boleh diberikan kepada kanak-kanak di seluruh Malaysia.
Melalui perkongsian dari seorang pereka fesyen tempatan Neng Kho Razali, beliau dengan kerjasama Grab Malaysia telah berjaya menghasilkan beg galas yang diubah dari beg penghantaran lama GrabFood. Bukan itu sahaja, Neng Kho juga turut menjadikan lebihan beg penghantaran itu menjadi beg alat tulis dan juga bekas yang boleh menyimpan pelitup muka.
Usaha ini telahpun dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada tahun 2020. Hasilnya, sekitar 400 barang daripada 200 set beg penghantaran terpakai GrabFood telah diinovasikan menjadi barang keperluan persekolahan bagi kanak-kanak yang memerlukan.
Sebelum kesemua beg ini ditukar dan diubah menjadi beg galas yang baharu, pelbagai langkah pencucian dan juga sanitasi telah dilakukan bagi memastikan hasil akhir yang sempurna.
Menurut Neng Kho lagi, beliau mengambil masa untuk merendam, mencuci dan membuang pelekat yang dilekatkan pemilik beg penghantaran sebelum ini yang mana ia dilihat mengambil masa dan tenaga yang agar banyak untuk menyiapkannya.
Setakat ini, Grab Malaysia telahpun mengagihkan barangan tersebut kepada Yayasan Anak Yatim, Rumah Yatim Tadika Istika Jaya, SK Long Pelutan dan rakan-rakan penghantar.
Sumber: Neng Kho Razali, SAYS