Pada masa kini, banyak rumah yang sudah mula menitikberatkan elemen kesederhanaan dan minimalis dalam menampilkan hiasan dan dekorasi rumah.
Bergerak selari dengan permintaan orang ramai, dekorasi ala Skandinavia kini telah menjadi satu pengaruh yang cukup luas dalam menentukan dan mencorak hiasan dalaman rumah.
Secara umumnya, elemen Skandinavia melibatkan lebih dari sekadar pemilihan perabot. Ia juga melibatkan penampilan elektronik hingga fesyen, seni bina hingga reka bentuk dalaman, reka bentuk Nordik dan juga paparan yang minimalis.

Apa itu Dekorasi Skandinavia?
Dekorasi ala Skandinavia dicirikan oleh pendekatan minimal dan bersih yang bertujuan untuk menggabungkan fungsi dan juga keindahan susun atur yang tidak mementingkan simetri pada hasil akhir.
Fokusnya adalah pada garis sederhana dan ruang cahaya tanpa elemen dekorasi dan warna yang berlebihan. Ia akan mengeluarkan sebarang penambahan yang tidak perlu, lebih-lebih lagi jika melibatkan perabot atau pencahayaan yang di berada di luar elemen warna.

Warna Skandinavia yang paling banyak digunakan adalah neutral dan monokromatik seperti putih, hitam dan warna tan. Bagi menambahkan keceriaan dalam dekorasi anda, pemilihan warna seperti merah jambu, warna kelabu-biru dan warna semula jadi seperti sage adalah yang paling popular dalam reka bentuk Skandinavia.
Mengapa Dekorasi Ala Skandinavia Mula Menjadi Pilihan Orang Ramai?
Untuk pengetahuan anda, elemen Skandinavia mula muncul pada tahun 1950-an bersama gerakan moden di Eropah dan Amerika.
Antara sebab mengapa dekorasi Skandinavia menjadi pilihan orang ramai adalah reka bentuk yang menggabungkan keindahan, kesederhanaan, dan fungsi tanpa perlu berlebihan.

Ia mengutamakan perabot dan hiasan yang demokratik yang mana hanya menampilkan garis-garis bersih dan dipadankan palet warna netral dalam pemilihan perabot, aksesori lampu, bingkai, langsir dan lain-lain.
Apa yang membezakan dekorasi Skandinavia dan juga gaya moden kontemporari yang sering dipamerkan dalam majalah adalah sebilangan besar susunan perabot tidak rapi yang mana anda mungkin akan melihat susun atur yang tidak simetri pada kerusi ataupun ruangan di meja.
Siapa Yang Mula Memperkenalkan Dekorasi Ala Skandinavia?
Dekorasi ala Skandinavia mula muncul pada tahun sekitar 1920-an dan berkembang di seluruh lima negara Nordik seperti Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden bermula dari tahun 1930-an dan seterusnya.
Ia dipelopori pereka hiasan dalam seperti Alvar Aalto dan Maija Isola dari Finland, Arne Jacobsen dari Denmark dan Josef Frank dari Sweden. Mereka mula menghasilkan karya mereka dengan memperkenalkan “Reka Bentuk Skandinavia”.

Elemen dalam Skandinavia mendapat ilham dari konsep Konstruktivisme, Fungsionalisme dan dalam beberapa kes Surrealisme.
- Konstruktivisme biasanya melibatkan pandangan mengenai aspek-aspek penting hubungan antarabangsa yang dibina oleh sejarah dan masyarakat dan bukannya yang melibatkan sifat manusia atau ciri khas politik dunia.
- Fungsionalisme pula adalah teori falsafah yang melibatkan hubungan dalam sesuatu elemen akan memberikan fungsi kepada elemen yang lain.
- Surealisme melibatkan teori pembebasan bentuk pemikiran logik yang mampu menghasilkan sensasi tertentu yang mana ia dapat dirasakan oleh manusia tanpa harus memahami bentuk asalnya.
Mengapa Dekorasi Ala Skandinavia Boleh Menjadi Popular?
Pada pendapat penulis sendiri, keunikan dekorasi ala Skandinavia adalah disebabkan oleh susun atur dan reka bentuknya yang abadi ataupun mampu kekal relevan untuk sepanjang zaman.
Hal ini kerana, ia mempunyai penampilan yang ringkas, cantik serta menggabungkan perasaan moden dan semula jadi dalam satu dekorasi. Malah, apa yang menjadikan ia popular juga adalah penekanan yang diberikan pada pemilihan kualiti berbanding kuantiti.
Akhir sekali, Skandinavia juga hadir dengan kombinasi praktikal dan kecanggihan yang elegan yang mungkin tidak dapat ditandingi oleh banyak reka bentuk atau dekorasi dari negara lain. Tambahan dengan populariti kedai perabot seperti IKEA sedikit sebanyak telah mempengaruhi citarasa pengguna.